Pegawai Sivakumar kembali bertugas, Bersatu desak SPRM dedah siasatan

0
279

Sayap Bersekutu Bersatu menggesa SPRM supaya mendedahkan status terkini siasatan terhadap dakwaan rasuah membabitkan dua pegawai kanan Menteri Sumber Manusia V Sivakumar.

Ketua Penerangannya, S Subramaniam berkata, ia susulan terlalu banyak spekulasi terhadap siasatan dakwaan rasuah bernilai RM97 juta yang dikatakan melibatkan sebuah agensi pengambilan pekerja asing dan konflik kepentingan.

“Kami meminta SPRM segera memberi satu penjelasan mengenai siasatan ini. Ini kerana terlalu banyak spekulasi dan kesimpulan berhubung kes ini. Antaranya, dua pegawai kanan menteri yang disiasat sebelum ini, kini kembali bertugas selepas tamat tempoh reman.

“Adakah ini bermakna siasatan ini sudah selesai? Apakah kedua-dua pegawai itu sudah dibebaskan daripada siasatan? Penjelasan ini amat penting kerana sekiranya kedua-dua pegawai itu masih dalam siasatan, maka keputusan menteri untuk membenarkan mereka kembali bertugas kemungkinan akan mengganggu siasatan,” katanya lapor Malaysiakini.

Beliau berkata, penjelasan SPRM amat penting untuk mengelakkan orang ramai atau netizen dalam media sosial membuat sebarang spekulasi.

“Kita semua tahu, dua pegawai digantung kerana terlibat dalam siasatan. Namun, ramai tidak tahu bahawa pegawai ketiga digantung merupakan anak kandung kepada setiausaha sulit. Setahu saya, tidak pernah dalam sejarah seorang ibu dan anaknya dilantik sebagai pegawai oleh mana-mana menteri. Ini yang kami gesa SPRM mendedahkan perkembangan siasatan ini.

“Saya hairan SPRM sehingga hari ini tidak membuat sebarang kenyataan berhubung siasatan ini. Ketika siasatan hakim Nazlan dan kes pembekuan akaun bank Bersatu, mereka (SPRM) bersungguh-sungguh memberi kenyataan.Tapi, bila melibatkan menteri mereka mengambil sikap berdiam,” katanya.

Minggu lalu SPRM juga menahan tiga orang – dua daripada mereka adalah pegawai kanan menteri dan seorang ahli perniagaan dari Ipoh, Perak. Ketiga-tiga mereka telah dibebaskan selepas perintah reman mereka tamat.

Terdahulu SPRM memanggil Sivakumar dua kali berhubung siasatan berhubung kes kelulusan pekerja asing.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here