Solat Aidilfitri: Pemakaian pelitup muka amat digalakkan

0
114

PEMAKAIAN pelitup muka semasa menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid atau surau amat digalakkan, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) Datuk Hakimah Mohd Yusoff.

Beliau dalam kenyataan hari ini berkata negara masih berada dalam Fasa Peralihan ke Endemik, justeru prosedur operasi standard (SOP) yang sedang berkuat kuasa pada masa ini amat menggalakkan pemakaian pelitup muka sekiranya berada di kawasan ramai orang dan sesak. 

Katanya Jakim atas saranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar telah mengadakan perbincangan bersama Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Prof Madya Dr Luqman Abdullah mengenai SOP pemakaian pelitup muka bagi jemaah yang akan menunaikan solat Aidilfitri di masjid atau surau. 

“Memandangkan SOP ini masih berkuat kuasa maka Jakim ingin menasihatkan kepada semua umat Islam agar mengambil langkah berwaspada dan berhati-hati dengan kawalan kendiri sekiranya mereka berada di mana-mana tempat perkumpulan ramai dan sesak termasuk di masjid serta surau,” kata Hakimah.

Semalam, Mohd Na’im dilaporkan berkata beliau akan mengadakan perbincangan dengan Hakimah dan Luqman bagi melihat keperluan mewajibkan pemakaian pelitup muka oleh jemaah ketika menunaikan solat sunat Aidilfitri.

Mohd Na’im berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan akan mewajibkan atau menggalakkan pemakaian pelitup muka ketika solat Aidilfitri sebagaimana dilakukan Perlis.

Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dilaporkan bertitah jemaah yang akan menunaikan solat Aidilfitri di seluruh Perlis digalakkan memakai pelitup muka dan membawa sejadah sendiri berikutan terdapat peningkatan penularan kes COVID akhir-akhir ini.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here