‘Kurang diplomasi’ tapi popular, Sanusi mampu pacu PN, kata penganalisis

0
229

PERIKATAN Nasional (PN) akan meraih manfaat jika mengekalkan Datuk Seri Sanusi Md Nor sebagai “poster boy” gabungan itu untuk PRN Kedah tahun ini, sekalipun beliau dilihat sebagai individu kontroversi, kata seorang penganalisis.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, Sanusi popular di negeri itu, khususnya dalam kalangan penyokong PAS.

“Sanusi mungkin kurang berdiplomasi kebanyakan masanya, tetapi bagi penyokong PAS, malah segelintir orang Melayu, perkara itu tidak penting. Jadi, PN membuat pilihan bijak mengekalkannya sebagai ‘poster boy’,” katanya kepada FMT.

Semalam, Pesuruhjaya PAS Kedah, Ahmad Yahya dilaporkan berkata, Sanusi akan terus menerajui kerajaan negeri sekiranya PAS kekal berkuasa di Kedah.

PAS dan Bersatu adalah sekutu dalam PN yang mempunyai 21 kerusi dalam DUN, iaitu masing-masing 15 dan enam kerusi.

Ahmad berkata, kegigihan Sanusi melindungi kepentingan negeri, digabung dengan desakan politik terhadap lawannya antara perkara yang menyumbang kepada popularitinya.

Sementara itu, Azmi berkata, Sanusi juga berani bertegas dengan kerajaan persekutuan yang turut dipandang positif penyokongnya.

Beliau memetik tindakan Sanusi mempertahankan pembangunan lapangan terbang Kulim dengan menegaskan projek itu dibiayai sepenuhnya sektor swasta dan tidak akan membebankan Putrajaya dari segi kewangan.

Katanya, bekas menteri besar Kedah pernah mengambil pendirian sama berhubung cadangan lapangan terbang itu. Projek itu dicadangkan pada 2018 oleh Menteri Besar ketika itu, Mukhriz Mahathir, yang kini presiden Pejuang.

“Selalunya, tidak bagus untuk negeri ‘melawan’ kerajaan persekutuan…tetapi Sanusi sekadar mengikut jejak pendahulunya, menjadikan beliau sangat disenangi dan dihormati rakyat Kedah,” kata Azmi.

Bagaimanapun, James Chin dari Universiti Tasmania berpendapat, keputusan PN kekal memilih Sanusi disebabkan gabungan itu tiada pemimpin terkemuka lain yang mampu menggantikannya.

“Sanusi aktif di media sosial dan bercakap perkara kontroversi. Tiada siapa yang profilnya setinggi beliau.

“Memandangkan PRN kira-kira empat bulan lagi, PN tiada masa memperkenalkan orang baharu,” katanya sambil menambah kenyataan kontroversi Sanusi hanya akan menarik kumpulan khusus pengundi Melayu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here