Visa pelancong dilonggar, mudahkan kemasukan 450,000 pelawat China

0
172

MALAYSIA bakal menerima kemasukan 450,000 pelawat China selepas menandatangani perjanjian dengan dua agensi pelancongan dari negara tembok besar itu.

Menurut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, kerjasama itu turut meliputi beberapa kelonggaran yang akan ditentukan supaya kemasukan mereka lebih lancar.

“Kami berjaya menandatangani perjanjian dengan dua agensi pelancongan di China iaitu satu agensi akan membawa masuk 350,000 dan bakinya 100,000 pelawat.

“Mereka minta kita tangani dua perkara iaitu prosedur permohonan visa yang lebih mudah dan kedua adalah untuk lebih banyak kapasiti penumpang dalam penerbangan antara kedua-dua negara,” katanya, lapor MalaysiaGazette.

Beliau berkata demikian selepas majlis berbuka puasa kementeriannya, di Kuala Lumpur, hari ini.

Mengulas lanjut, King Sing berkata, perkara itu menjadi satu daripada kejayaan kementeriannya selepas beliau turut bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam lawatan rasmi ke China pada 29 Mac lalu.

Oleh itu katanya, satu rundingan dengan pihak berkuasa termasuk Jabatan Imigresen (JIM) akan diadakan bagi menangani perkara berkenaan.

Tambah beliau, hasrat itu juga bagi memastikan kementeriannya mampu mencapai sasaran 5 juta ketibaan pelancong dari China pada tahun ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here