Laporan penuh nahas udara 1976: Tiada sabotaj, pesawat hilang keseimbangan

0
176

LAPORAN akhir siasatan nahas pesawat pada 1976 yang meragut 11 nyawa, termasuk ketua menteri Sabah ketika itu Fuad Stephens, mendapati tiada unsur sabotaj.

Proses nyah klasifikasi laporan itu selesai pada 6 April lalu dan boleh dimuat turun di laman rasmi Kementerian Pengangkutan.

Kesimpulan pasukan penyiasat sebaliknya adalah kemungkinan besar punca kemalangan yang digelar nahas “Double Six” itu adalah kerana pesawat tersebut hilang keseimbangan.

“Laporan menyimpulkan punca kemalangan kemungkinan disebabkan kedudukan pusat graviti di luar had buritan yang menyebabkan kolum kawalan tidak boleh lagi ke depan, dengan bahagian depan pesawat terangkat ke atas apabila sayap melepasi 25 darjah ketika hampir mendarat,” menurut ringkasan laporan itu.

Butiran adalah bahagian paling belakang pesawat.

Laporan itu menganggarkan terdapat 325 lbs (147.4kg) muatan di bahagian bagasi buritan, melepasi had yang dibenarkan iaitu 198 lbs (89.8 kg).

Maka walaupun kiraan berat berlepas 435 lbs (197.3kg) adalah di bawah hak maksimum, pusat graviti telah lari.

Laporan itu turut membangkitkan perihal juruterbang Gandhi Nathan yang digambarkannya sebagai ada rekod yang buruk.

Laporan itu menyatakan buku log penerbangan juruterbang didakwa terbakar pada Jun 1969, dan buku log ganti dicuri pada November 1975.

Ia juga menyatakan berdasarkan rekod yang ada, juruterbang ada “sejarah prestasi buruk” dalam penerbangan dan rekod latihannya dengan Sabah Air adalah marginal.

Selain itu, laporan itu juga mendapati syarikat penerbangan tidak tegas dalam memastikan prosedur dipatuhi.

“Maka semua keadaan ini menyebabkan ia berlaku, di mana juruterbang, tanpa kelaziman memenuhi banyak keperluan atau prosedur yang digariskan syarikat, sekadar berjalan secara bersahaja mengelilingi pesawat di Labuan, dan duduk di kokpit ketika semua muatan berada dalam pesawat, tanpa sedar yang taburan muatan (distribution of load) adalah salah,” kata laporan itu menurut Malaysiakini.

Laporan itu turut menyatakan juruterbang juga mungkin tidak cukup tidur dan dia ada memberitahu kenalan yang dia letih dan sakit perut yang tidak teruk.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here