Jualan merudum, berniaga tidak semeriah dahulu, keluh peniaga Bazar Jalan TAR

0
277

BAZAR sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) Kuala Lumpur memang sinonim dengan sambutan Aidilfitri saban tahun.

Namun, berbeza tahun ini apabila gerai jualan di sini disifatkan kurang mendapat sambutan meskipun Aidilfitri bakal disambut minggu depan.

Tinjauan SatuBerita di sekitar jalan TAR mendapati, rata-rata peniaga mengeluh kerana perniagaan mereka tahun ini agak merundum berbanding tahun sebelumnya.

Peniaga baju Melayu, Muhammad Amar Hakim Mohd Nazri, 20 berkata, tahun ini perniagannya agak ‘slow’ dan pengunjung agak kurang terutama pada hari biasa.

MUHAMMAD AMAR HAKIM

“Dahulu hari biasa masih ramai pengunjung apatah lagi sudah memasuki 20 Ramadan. Tapi Ramadan kali ini, walaupun sudah 20 hari berpuasa, pengunjung masih sama.

“Mungkin disebabkan baru buka sekolah, ramai yang mahu berjimat ditambah lagi keadaan ekonomi dan kenaikan harga barang,” katanya yang sudah tiga tahun berniaga.

Bagi Muhd Zul Hakimie Md Noor, 19 perniagaan samping turut terjejas akibat kurangnya kuasa membeli dalam kalangan orang ramai.

MUHD ZUL HAKIMIE MD NOOR

“Tahun ini agak mencabar sebenarnya. Selain sewa tapak yang mahal kami juga berdepan dengan jualan yang kurang memberangsangkan apatah lagi rsudah ramai yang menjual samping tahun ini.

“Sebelum ini, jualan boleh cecah hingga RM8,000 sehari, tapi sekarang mahu dapat RM1,000 susah,” katanya.

Peniaga baju Melayu dan biskut raya, Haslind Hashim, 47, pula berkata, lebih 20 tahun berniaga di Jalan TAR, tahun ini dirasakan agak perit dan sedikit ‘down’.

HASLIND HASHIM

“Kuasa pembeli benar-benar kurang. Lebih ramai peniaga daripada pembeli. Dahulu, dua minggu sebelum raya, kami golongan peniaga hanya perlu kira untung sahaja, tetapi kini sudah memasuki 10 terakhir Ramadan masih tekun menjual demi meneruskan kehidupan.

“Kami peniaga benar-benar terkesan. Kita juga faham ramai orang mahu berjimat lebih-lebih lagi keadaan ekonomi tidak stabil dan raya pula di tengah bulan di mana pekerja swasta masih belum mendapat gaji.

“Pendek kata semua orang mahu berjimat kerana bahan mentah juga mahal. Saya jual baju Melayu harga RM169 pun masih ada yang kata mahal dan minta harga bawah RM100,” katanya.

NUR ASYIKIN KAMARUZZAMAN

Bagi Nur Asyikin Kamaruzzaman, 32 yang mewarisi perniagaan keluarganya sejak 30 tahun lalu juga mengakui tahun ini perniagaannya agak terbatas.

“Keluarga saya sudah menjual perniagaan kacang dan maruku ini lebih 30 tahun. Meskipun ada permintaan tetapi tidak ‘semeriah’ dahulu.

“Sekarang nak jual kacang sekilogram dalam balang pun susah. Ramai yang beli dalam kuantiti sedikit sahaja yang berharga RM10.

“Senang cakap masih belum pulang modal lagi. Bahan mentah semuanya mahal sebab maruku dan kacang kami buat sendiri. Tetapi kami masih mengekalkan harga seperti sebelum ini namun terpaksa mengurangkan kuantiti,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here