Ramai remaja, gadis beli vape tanpa rasa takut

0
162

LEBIH ramai remaja didakwa kini bebas memasuki premis menjual vape dan membeli cecair berasaskan nikotin untuk gajet vape masing-masing.

Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) , N. V. Subbarow berkata, tinjauan pihaknya dua hari lalu mendapati sebahagian remaja berkenaan kelihatan amat muda malah ada yang mengaku baru berumur 14 tahun atau tingkatan dua.

Menurutnya, remaja itu mengakui sangat takut untuk masuk ke kedai vape untuk membeli nikotin, namun situasi mula berubah selepas 1 April lalu, yang mana mereka bebas memasuki mana-mana kedai vape.

Katanya lagi, ‘vaper’ seperti pelajar juga mengakui mereka mendapatkan wang untuk membeli cecair untuk gajet vape mereka daripada rakan dan ahli keluarga.

“Terdapat banyak kedai vape di Pulau Pinang dan golongan remaja dibenarkan masuk secara sah untuk membeli racun tetapi tidak meracuni produk nikotin.

“Ada yang tidak berpuas hati dengan duti eksais tetapi itu tidak menghalang mereka untuk membeli jus cecair nikotin.

“Malah dua buah kedai vape mengakui tidak terkesan dengan duti eksais sebaliknya meningkatkan jualan dan memaklumkan lebih ramai gadis muda turut menjadi pelanggan baharu mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Subbarow berkata, pihaknya bimbang trend itu akan membawa kepada keadaan tidak sihat kepada generasi muda akan datang.

Beliau menegaskan, vape dan e-rokok itu mampu menyebabkan ketagihan nikotin dalam kalangan generasi baharu dan lebih membimbangkan, banyak peranti vape juga boleh digunakan untuk menyedut jenis dadah lain yang diharamkan.

“CAP percaya pendidikan untuk kedua-dua remaja dan ibu bapa mereka berhubung penggunaan peranti vape ini adalah amat penting.

“Remaja selalunya memperoleh sebahagian besar pengetahuan mereka tentang vape dan e-rokok daripada media sosial,” katanya.

Sementara itu, Subbarow menggesa Kementerian Kesiahatan (KKM) mengambil langkah segera untuk membendung remaja daripada dengan mudah dan sewenang-wenangnya membeli nikotin tanpa sebarang masalah.

“Jika tidak, kita mungkin perlu menubuhkan lebih banyak pusat pemulihan dan ketagihan dadah di negara ini pada masa depan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here