Bertengkar sampai telan telefon bimbit

0
155

SEORANG gadis berusia 18 tahun di India terpaksa menjalani pembedahan kecemasan selepas bertindak menelan telefon bimbit ketika bertengkar dengan abangnya.

Lapor New York Post, insiden itu berlaku di Amayan, daerah Bhind di Madhya Pradesh, semalam. 

“Pertengkaran antara adik-beradik akhirnya membawa kepada musibah,” kata seorang doktor terlibat dalam pembedahan di Hospital Jaya  Arogya. 

Dua beradik itu dilaporkan bertengkar merebut sebuah telefon bimbit buatan China.

Remaja itu akhirnya memutuskan untuk menelan peranti mudah alih itu bagi menghentikan pertengkaran tersebut.

“Ketika perasaan marah memuncak semasa pertengkaran, gadis itu mengambil langkah impulsif dengan menelan telefon bimbit itu,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Tidak lama kemudian, gadis itu mula mengalami sakit yang teruk.

Menurut doktor, remaja itu mula mengalami sakit perut yang teruk dan muntah secara berterusan sehingga dikejarkan ke hospital.

Sejurus tiba di hospital, pakar bedah menjalankan beberapa ujian ke atas remaja itu termasuk imbasan tomografi berkomputer (CT Scan), X-ray dan ultrasound.

Pakar bedah memutuskan mereka tidak dapat mengeluarkan telefon bimbit itu melalui kaedah endoskopi dan hanya boleh berbuat demikian menerusi pembedahan.

Sementara itu, ketua pakar bedah Dr. Naveen Kushwah berkata, pasukannya berjaya mengeluarkan telefon bimbit tersebut selepas melakukan pembedahan selama dua jam.

Katanya, remaja itu kini berada dalam keadaan stabil selepas pembedahannya yang memerlukan 10 jahitan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here