Peratus kehadiran MP PN paling baik pada Dewan Rakyat

0
219

KEHADIRAN ahli Parlimen (MP) Perikatan Nasional (PN) pada sidang Dewan Rakyat mempunyai peratusan terbaik dengan purata 29.2 hari daripada 31 hari persidangan.

Pada kadar kehadiran 94.2 peratus, ini merupakan peningkatan drastik dalam kehadiran MP PN.

Kadar itu meningkat daripada 72.3 peratus pada September lalu, menurut MalaysiaKini yang membuat satu tinjauan berdasarkan rekod kedatangan dalam hansard (transkrip rasmi) Parlimen.

Bagi kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) pula, kadar kedatangan MP pada purata 27.4 hari, dengan kadar kehadiran 88.4 peratus.

Perlu dinyatakan bahawa kadar kedatangan wakil rakyat pembangkang ke Dewan Rakyat secara umumnya akan lebih baik berbanding MP di pihak kerajaan kerana anggota cabang eksekutif lazimnya tidak hadir melainkan mereka dikehendaki menjawab soalan dalam sidang.

Menurut laporan itu, rekod kedatangan Dewan Rakyat mula dicatat dalam hansard pada Julai 2021.

Bagaimanapun, jumlah kehadiran yang dicatat tidak mengambil kira sama ada MP itu berada di Dewan Rakyat sepanjang hari atau hanya satu minit.

Kehadiran diambil secara berkala oleh pegawai di Parlimen dan apabila MP mendaftar masuk ke komputer masing-masing di meja mereka.

Dalam gabungan PN, kehadiran MP PAS mengatasi kadar kedatangan rakan gabungan mereka iaitu Bersatu.

Sementara itu, terdapat 97 MP dengan kehadiran penuh.

Ahli Parlimen PAS mempunyai bilangan kehadiran penuh paling ramai iaitu 31 orang.

Ini bermakna 72.1 peratus MP PAS mempunyai kehadiran penuh, manakala DAP berada di tempat kedua (52.5 peratus).

Parti dengan kehadiran terburuk ialah MIC. MP tunggal mereka mempunyai kehadiran yang lemah iaitu sebanyak 15 hari daripada 31 hari atau 48.4 peratus.

Sebaliknya, MUDA – juga dengan hanya seorang ahli Parlimen – adalah satu-satunya parti dengan kadar kehadiran 100 peratus.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya hadir 17 daripada 31 hari Dewan Rakyat bersidang.

Bagaimanapun, Anwar hanya terlepas satu sesi soal jawab perdana menteri (PMQ) iaitu pada 28 Februari. Pejabat Perdana Menteri tidak menjawab permintaan untuk mengulas lanjut berkenaan perkara itu.

Ketua pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin hadir 19 daripada 31 hari sidang. Difahamkan, Hamzah cuti sakit dari 9 Mac hingga 22 Mac.

Malangnya bagi Anwar, kadar kehadirannya kali ini meletakkannya dalam kalangan 10 kehadiran terendah. Turut tersenarai adalah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (15 hari), Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow (14) dan Tan Sri Abdul Hadi Awang (12).

Alexander Nanta Linggi dari GPS hanya menghadiri 11 daripada 31 hari sidang Dewan Rakyat. Dia mengambil cuti sakit sejak 14 Mac kerana menjalani pembedahan penggantian lutut.

Di kedudukan paling bawah dalam rekod kedatangan ke Dewan Rakyat ialah Ahli Parlimen Putatan Shahelmey Yahya (10 daripada 31 hari).

Pengerusi PN dan juga Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin, mencatatkan antara kehadiran terbaik iaitu sebanyak 26 daripada 31 hari.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here