Agong zahir dukacita, kutuk sekeras-kerasnya serangan terbaharu rejim Israel

0
202

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa dukacita dan mengutuk sekeras-kerasnya serangan terbaharu tentera rejim Israel terhadap jemaah Palestin serta pencerobohan ke atas Masjid Al-Aqsa baru-baru ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Mejar Jeneral Datuk Zahari Mohd Ariffin berkata Seri Paduka menyifatkan tindakan itu sebagai perbuatan keji dan amat zalim serta tidak berperikemanusiaan lebih-lebih lagi kerana ia berlaku dalam bulan mulia yang sepatutnya aman.

“Seri Paduka turut menyifatkan tindakan tentera rejim Israel itu bukan sahaja menyalahi undang-undang malah mencabuli hak asasi manusia serta kesucian masjid itu,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Al-Sultan Abdullah bertitah bahawa Malaysia dan rakyatnya sentiasa bersolidariti bersama Palestin serta menyeru rakyat untuk terus memperjuang prinsip keadilan dan sikap saling menghormati di samping menentang sebarang bentuk keganasan serta kezaliman sesama manusia.

Zahari berkata Yang di-Pertuan Agong juga menzahirkan sokongan terhadap ketetapan kerajaan yang menyeru masyarakat antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), supaya rejim Israel bertanggungjawab ke atas jenayah keji itu dan segera membebaskan semua tahanan Palestin.

Al-Sultan Abdullah bertitah Malaysia menyokong dan berpegang teguh dengan pendiriannya selama ini bahawa rakyat Palestin berhak mendapat sebuah negara yang merdeka serta berdaulat berdasarkan garis sempadan sebelum 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara selaras dengan undang-undang dan inisiatif di peringkat antarabangsa.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja berkata Seri Paduka turut bertitah agar kerajaan memainkan peranan menyeru Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk bersatu padu membantu menangani masalah yang dihadapi oleh Palestin.

Baginda turut menyeru seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama untuk sama-sama berdoa mengikut pegangan kepercayaan masing-masing supaya rakyat Palestin dilindungi serta tanah air mereka dibebaskan daripada penjajahan dan penindasan rejim Israel.

“Seri Paduka turut menyeru masjid dan surau di negara ini serta rakyat yang beragama Islam untuk mengadakan solat sunat hajat serta doa selamat termasuk di kediaman sendiri bagi memohon ihsan daripada Allah SWT untuk memelihara kesejahteraan rakyat Palestin daripada niat jahat rejim Israel,” katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here