Maritim Malaysia lancar Op Khas Pagar Laut sempena Aidilfitri

0
196

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengaktifkan semula Op Khas Pagar Laut di seluruh perairan Malaysia bermula esok sehingga 30 April ini.

Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, operasi yang dilaksanakan sejak tahun 2016 bertujuan mengekang dan memerangi aktiviti jenayah rentas sempadan dan akan diadakan dua minggu sebelum dan dua minggu selepas perayaan Aidilfitri.

Katanya, penjenayah mungkin beranggapan penguatkuasaan undang-undang di musim perayaan agak longgar kerana sebahagian besar petugas keselamatan bercuti bagi merayakan Aidilfitri.

“Kebiasaannya waktu inilah penjenayah akan mengambil kesempatan melakukan aktiviti jenayah melalui jalan laut seperti membawa masuk pendatang asing tanpa izin (PATI), penyeludupan kontraband serta barang-barang kawalan, pencerobohan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Op Khas Pagar Laut di perairan Batu Maung, Pulau Pinang hari ini.

Menurut Saiful Lizan, menerusi Op Khas Pagar Laut itu, seramai 800 pegawai dan anggota penguat kuasa akan ditugaskan mengawal dan memantau perairan negara dengan dibantu sebanyak 45 buah aset.

Dalam masa sama, ujar beliau, pihaknya turut bersedia menggerakkan aset bagi melaksanakan tugas mencari dan menyelamat sekiranya berlaku insiden kapal atau bot yang dalam perjalanan membawa penumpang asing dari negara ini pulang ke kampung halaman.

“Kita akan memperketatkan kawalan serta mengoptimumkan pengoperasian di kawasan maritim negara terutamanya di sempadan Malaysia dan Thailand serta Indonesia,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Saiful Lizan berkata, Maritim Malaysia dijangka menerima Kapal Peronda Luar Pesisir pertama (OPV 1) pada 24 Julai ini.

Ujar beliau, penyerahan kapal itu mengalami kelewatan disebabkan kelewatan Limbungan TH Heavy Engineering (THHE) Berhad menerima beberapa peralatan utama yang ditempah dari negara luar seperti meriam dari Turki dan peralatan bot dari United Kingdom.

“Melihat kepada pembentangan dan taklimat yang disampaikan THHE kepada rombongan (menteri), saya yakin OPV 1 dapat diserahkan kepada kita pada tarikh yang diberikan.

“Selain itu, kapal OPV 2 dan 3 dijangka diterima penghujung tahun ini dan awal tahun depan,” katanya, lapor WartaRakyat.

Sebelum ini, media melaporkan, bekas Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Datuk Mohd. Zubil Mat Som kecewa susulan tiada sebiji pun kapal OPV yang diterima pihaknya sehingga beliau bersara pada 16 Mac lalu.

Mohd. Zubil berkata, mengikut perjanjian awal, dua buah OPV akan diserahkan tahun ini, namun perkembangan baharu menyatakan OPV 1 diserah pada Mac, manakala OPV 2 pula masih menjadi tanda tanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here