Dua ahli Parlimen PN tolak pelawaan Rauf sertai kerajaan perpaduan

0
161

DUA ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) menolak pelawaan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh untuk menyertai kerajaan negeri pimpinannya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban yang juga Ketua Pembangkang Melaka, Yadzil Yaakub dan ADUN Sungai Udang, Aleef Yusof kekal dengan prinsip menjadi pembangkang berwibawa dengan menjadi semak dan imbang kepada kerajaan negeri.

“Saya dan ADUN Sungai Udang akan kekal berada di blok pembangkang. Bukan soal macam mana kami nak lawan, tapi janganlah takut kepada kami, kepada pembangkang yang hanya berdua,” katanya dalam catatan dalam Facebook.

Semalam, Rauf dilaporkan berharap dua ADUN PN akan menyertai kerajaan perpaduannya, sebelum Enakmen Anti Lompat Parti dibentangkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri Julai ini.

Katanya, jika dua ADUN itu bersetuju menyertai kerajaan negeri pimpinannya, ia bakal mencatat sejarah sebagai negeri pertama sifar pembangkang.

Dalam perkembangan lain, Yadzil menyifatkan pelantikan timbalan Exco Melaka merupakan pembaziran.

“Kerajaan Melaka sendiri dari peringkat awal tidak mampu menyediakan peruntukan hanya kepada dua ADUN pembangkang, tetapi melantik (10) timbalan Exco, menjadikan 21 daripada 28 ADUN (menyertai kerajaan), yang mustahil tanpa belanja tambahan.

“Keputusan ini menggambarkan kerajaan Melaka lebih mengutamakan keselesaan ADUN dalam blok kerajaan berbanding membawa agenda rakyat,” katanya, lapor FMT.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here