Saya hadir sebagai pengunjung jika tidak dijemput ke LIMA – Sanusi 

0
182

Oleh BADLISHAH MAT

DATUK Seri Muhammad Sanusi Md. Nor memaklumkan beliau tetap akan menghadiri Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA’23) pada Mei ini sama ada diundang atau tidak.
 

Kata Menteri Besar Kedah itu, beliau tidak kisah jika perlu hadir ke acara berprestij itu sebagai pengunjung biasa memandangkan semua persediaan termasuk penginapan dan pengangkutan sudah dilakukan sejak beberapa bulan lalu.
 

“Kalau tidak jemput pun saya akan bawa teropong pergi duduk di tepi pagar lapangan terbang. Kita tengok kapal laut, kapal terbang sebagai pengunjung, tak akan mereka nak halau, lagipun tepi pagar itu ada orang jual laksa.
 

“Kalau tidak dijemput saya hadir sebagai pengunjung. Hotel semua sudah tempah awal sebab LIMA’23 itu acara besar. Kalau tempah lambat hotel tak ada,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, hari ini.
 

Sebelum ini, Muhammad Sanusi mendakwa beliau dilarang menyertai sebarang majlis anjuran Kerajaan Persekutuan termasuk menghadiri LIMA’23 yang berlangsung 23 hingga 27 Mei depan.
 

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari baru-baru ini menegaskan Kerajaan Persekutuan tiada sebarang larangan untuk Muhammad Sanusi menghadiri acara berkenaan.
 

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, pihaknya tetap beranggapan bahawa terdapat larangan untuk beliau menghadiri program atau acara Kerajaan Persekutuan sebelum ini.
 

“Cuma kerana takut menjadi kecaman maka mereka buat-buat macam tak ada lah sebab pegawai saya tengok (surat pekeliling) itu. Benda itu ada tapi oleh kerana benda itu sulit orang susah nak dapat jadi dia pun kata lah tak ada, tak apalah tak ada pun,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi mengesahkan akan menghadiri Majlis Santunan Kasih Ramadan bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Masjid Al-A’La di Pekan Jitra, Kubang Pasu petang ini.

“Saya ucap terima kasih Timbalan Perdana Menteri yang membuat jemputan kepada saya dan Exco ke majlis berbuka puasa di Kubang Pasu. Saya akan hadir lah kali pertama berprogram bersama Timbalan Perdana Menteri,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi menganggap dirinya sering menjadi sasaran pihak lawan termasuk barisan Kabinet kerana beliau seorang ‘fighter’ apabila pelbagai isu dibangkitkan di Dewan Rakyat termasuk berkaitan tanah rizab Melayu seolah-olah mahu menggambarkan kerajaan negeri mengabaikan kepentingannya.

“Ada orang orang di Kuala Lumpur dan Selangor tanya saya pasal apa Menteri Besar Kedah jadi sasaran ‘tembakan’ di Parlimen, saya kata saya ‘fighter’ jadi orang yang tidak ditembak itu bukan ‘fighter’ lah jadi orang tak ada apa nak cari gaduh.

“Saya ni sebab orang cari pasal baru saya jawab macam tanah rizab Melayu itu satu usaha cari pasal bagi memberi gambaran buruk kepada kerajaan negeri seolah-olah kita ini mengabaikan kepentingan tanah rizab Melayu sehingga hilang 5,100 hektar tak diganti padahal benda itu tak berlaku,” katanya.

Beliau bagaimanapun lega kerana kekhilafan tersebut dapat dipatahkan dengan kebenaran daripada Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) dari Kedah.

“Saya ucap terima kasih, itu gunanya menang 14-1 (Parlimen). Kalau menang 15 kosong lagi bagus. Tak sempat orang nak kona (pusing) panjang sangat. Kona sikit terus orang betul. Saya ucap terima kasih lah kepada Kerajaan Persekutuan beri perhatian kepada Kedah,” katanya.- SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here