Pentadbiran negeri Melaka sudah jadi kartun, kata PAS

0
178

KETUA Pemuda PAS, Fadhli Shaari menyifatkan tindakan UMNO untuk menukar ketua menteri Melaka sebagai situasi pentadbiran negeri itu sudah menjadi kartun.

“Presiden kata ketua menteri letak jawatan kerana ada masalah kesihatan. Ketua menteri kata, masalah kesihatan ada sedikit demam dan batuk.

“Exco pula kata, ketua menteri yang baru jadi ‘Ketua Menteri tebuk atap’. 

“Pentadbiran negeri sudah jadi kartun,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, lapor Malaysiakini.

Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, mengesahkanparti itu sudah menghantar nama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Ab Rauf Yusoh, sebagai ketua menteri yang baharu bagi menggantikan Sulaiman Md Ali yang dikatakan telah meletakkan jawatan.

Ditanya sebab berbuat demikian Zahid sekadar berkata Sulaiman berdepan isu kesihatan, tanpa menghuraikan lanjut.

Keputusan itu mengundang rasa tidak puas hati beberapa pemimpin pembangkang, termasuk ahli UMNO sendiri yang mendakwa Sulaiman terpaksa tunduk kepada kehendak pihak tertentu, walaupun tidak mahu melepaskan jawatan berkenaan.

Adun Rembia yang juga adalah exco kerajaan negeri, Muhammad Jailani Khamis sebelum ini membuat kenyataan bahawa Melaka bakal mempunyai ketua menteri “tebuk atap atau pintu belakang”.

Susulan itu juga beberapa pemimpin pembangkang tampil meminta penjelasan mengapa Sulaiaman melepaskan jawatannya sedangkan BN mempunyai majoriti dua pertiga di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

Isu pertukaran kepimpinan Melaka hangat beberapa bulan sebelum dan juga selepas kemenangan besar BN pada PRN pada 20 November 2021.

Pada 27 Mac lalu, Ahmad Zahid mengesahkan struktur pentadbiran kerajaan Melaka akan berubah susulan pembentukan kerajaan perpaduan di peringkat negeri itu.

Istiadat mengangkat sumpah jawatan ketua menteri yang baharu dijadualkan berlangsung hari ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here