Tidak adil sekat ketua kerajaan negeri

0
134

Oleh BADLISHAH MAT

MELARANG Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor daripada menyertai program anjuran Kerajaan Persekutuan merupakan satu bentuk penganiayaan dan layanan tidak adil terhadap seorang ketua kerajaan negeri.

Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah, Datuk Mohd. Suhaimi Abdullah berkata, Kerajaan Persekutuan yang mengetengahkan Malaysia Madani tidak sepatutnya berbuat demikian kerana ia bertentangan dengan konsep dilaung-laungkan mereka.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, elemen pentadbiran dan pemerintahan kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan tidak seharusnya dimasukkan elemen politik yang boleh menjejaskan kedua-dua pihak.

“Sekiranya benar perkara itu berlaku, saya rasa tidak adil sebab dalam konteks Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA 23’) yang akan dianjurkan walaupun dibiayai Kerajaan Persekutuan, pameran itu dibuat dalam Kedah dan Pulau Langkawi merupakan jajahan negeri Kedah.

“Kalau Menteri Besar orang yang tertinggi dari segi pentadbiran Kedah sendiri tidak dibenar ambil bahagian, dihalang dan sebagainya ini sudah pasti penganiayaan kepada ketua kerajaan negeri,” katanya.

Semalam, Muhammad Sanusi mendakwa, beliau dilarang menghadiri sebarang majlis dan program dianjurkan Kerajaan Persekutuan termasuk LIMA 23 di Langkawi dari 23 hingga 27 Mei ini.

Tambah Mohd. Suhaimi, rakyat sedang menilai tindak-tanduk kerajaan dan sekiranya benar larangan dikenakan kepada Muhammad Sanusi itu, ia tidak akan menyenangkan rakyat yang sedang berhadapan pelbagai kepayahan terutama isu kos sara hidup.

“Kalau kita dengar Perdana Menteri menjelaskan mengenai pentadbiran Madani, kita boleh buat kesimpulan bahawa tafsirannya betul-betul memang baik, tidak ada salah guna kuasa, banteras bukan sahaja rasuah tetapi segala kejahatan yang berlaku,” katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada larangan itu berkaitan kebimbangan kerajaan menghadapi PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Mohd. Suhaimi berkata, fasa pilihan raya adalah proses yang tiada sempadan.

“Apabila datang pilihan raya, tidak ada sempadan, ia melibatkan parti-parti, PN parti seluruh Malaysia, Pakatan Harapan (PH) juga parti seluruh Malaysia. Tidak ada sempadan, contoh Pengerusi PN orang Johor tidak semestinya tak boleh berkempen di Kedah atau Pulau Pinang.

“Begitu juga PH, Perdana Menteri kawasannya di Tambun, ia tidak menegah beliau pergi berkempen sehingga ke Sabah dan Sarawak. Maka, dalam konteks Muhammad Sanusi dia juga berhak kerana bukannya beliau Menteri Besar Kedah mai ganggu pentadbiran Selangor, itu memang salah,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here