KWSP Bersasar: Rakyat mesti terus bersuara

"Kalau kita boleh menang lawan isu SSPN, kita juga boleh menang dalam isu KWSP."

0
255

AHLI Parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, rakyat mesti terus bersuara memperjuangkan supaya kerajaan membenarkan pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bersasar.

Katanya, jika rakyat boleh menang dalam memperjuangkan isu Sijil Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN), tidak mustahil kejayaan juga boleh dicapai dalam isu KWSP.

“Rakyat mesti terus bersuara. Saya akan terus bersuara. Biar apa saja tekanan mereka berikan, jangan kita biarkan kerajaan kayangan yang zalim ini bertindak sesuka hati menafikan hak rakyat.

“Kalau kita boleh menang lawan kezaliman Anwar dalam isu SSPN, kita juga boleh menang dalam isu KWSP!,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya.

Berikut kenyataan penuh Wan Saiful yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Bersatu.

KALAU KITA BOLEH MENANG DALAM ISU SSPN, KITA JUGA BOLEH MENANG #KWSPBERSASAR

Setelah diasak oleh rakyat melalui Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional, Anwar Ibrahim mengaku kalah dan mengekalkan pelepasan cukai bagi para penabung SSPN.

Semasa saya berusaha menaikkan kadar pelepasan ini ke RM8,000, matlamat saya ialah memastikan kita dapat mengubah budaya rakyat daripada berhutang kepada menabung. Kerajaan PH-UMNO seharusnya menyokong matlamat ini agar anak muda tidak terus terbeban dengan hutang.

Malangnya kerajaan PH-UMNO mempunyai niat menghapuskan insentif kepada rakyat. Sikap anti-rakyat PH-UMNO hanya berubah setelah rakyat bersuara tidak menyebelahi mereka.

Sudah pasti mereka akan berlakon seolah-olah mereka mendengar suara rakyat. Tapi kita jangan lupa. Niat asal mereka adalah untuk menghapuskan insentif yang bagi manfaat kepada rakyat. Niat buruk ini tidak hilang dengan mudah.

Kalau saya dan beberapa Ahli Parlimen tidak bercakap dalam isu #SSPN, entah-entah mereka akan bulldoze dan teruskan begitu saja.

Langkah seterusnya ialah untuk mengusahakan agar rakyat dibenarkan mengeluarkan KWSP secara bersasar.

KWSP adalah wang pencarum. Bukan wang kerajaan. Kerajaan PH-UMNO ini nampaknya hidup di alam kayangan dan berterusan menafikan kesusahan dan rintihan rakyat. Sehingga wang rakyat pun mereka anggap seperti milik peribadi mereka.

Rakyat mesti terus bersuara. Saya akan terus bersuara. Biar apa saja tekanan mereka berikan, jangan kita biarkan kerajaan kayangan yang zalim ini bertindak sesuka hati menafikan hak rakyat.

Kalau kita boleh menang lawan kezaliman Anwar dalam isu SSPN, kita juga boleh menang dalam isu KWSP!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here