Ketua Pembangkang DUN Melaka hormat keputusan Sulaiman letak jawatan

0
112

KETUA Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Dr Mohd Yadzil Yaakub menghormati keputusan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang telah menghantar surat peletakan jawatannya sebagai Ketua Menteri Melaka.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka itu berkata pihaknya turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Sulaiman atas jasa dicurahkannya sepanjang memegang jawatan itu.

“Kami mengambil pendirian tidak mencampuri urusan kemelut politik yang berlaku dalam Barisan Nasional (BN) Melaka.

“Saya dan ADUN PN yang lain akan kekal komited sebagai pembangkang yang berwibawa.

“Kami akan terus memperjuangkan suara rakyat dan menjadi check and balance (semak dan imbang) yang baik kepada Kerajaan Negeri Melaka,” katanya dalam satu kenyataan di Melaka hari ini.

Mohd Yadzil turut berharap agar Ketua Menteri baharu akan terus membawa agenda rakyat yang masih tersepit dengan kos sara hidup yang tinggi serta mampu menyelesaikannya di samping membawa kemajuan kepada negeri Melaka.

Spekulasi pertukaran Ketua Menteri Melaka mula dilaporkan media sejak semalam susulan tular maklumat dalam aplikasi WhatsApp mengenai istiadat mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri yang baharu akan berlangsung esok.

Antara nama yang disebut-sebut menggantikan Sulaiman ialah ADUN Tanjung Bidara merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here