“Tunggu pengumuman rasmi”, kata Ab Rauf

0
213

PENGERUSI Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh meminta semua pihak agar menunggu pengumuman rasmi berhubung spekulasi pertukaran Ketua Menteri.

“Tunggu pengumuman rasmi. Saya tak boleh beri apa-apa maklum balas setakat ini,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Badan Perhubungan UMNO negeri di Seri Negeri, Ayer Keroh.

Ab Rauf yang juga EXCO Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri berkata, semua pihak diminta bertenang dan bersabar susulan spekulasi yang mengaitkan namanya untuk dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka baharu.

“Saya tidak boleh memberikan apa juga komen mengenai spekulasi ini. Kita tunggu pengumuman rasmi daripada mana-mana pihak yang akan memberikan pengumuman, sedikit masa lagi ya,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Ab Rauf berkata, isu pertukaran Ketua Menteri Melaka itu tidak dibincangkan pada mesyuarat berkenaan, sebaliknya tertumpu kepada kelancaran jawatankuasa baharu sejurus tamat musim pemilihan UMNO baru-baru ini.

“Tak perlu bincang (isu pertukaran Ketua Menteri) sebab tak ada kena mengena (dengan agenda mesyuarat),” katanya.

Spekulasi pertukaran Ketua Menteri kini kembali hangat apabila penyandang jawatan itu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dikatakan akan meletakkan jawatan esok.

Difahamkan, tindakan itu diambil selepas beliau mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam.

Ia sekali gus bakal memberi laluan kepada Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara untuk dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka baharu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here