Tragedi ikan buntal: Warga emas tak tahu jenis ikan dimakan sebelum maut

0
267

WARGA emas, Lim Siew Guan, 83, yang maut selepas memakan hidangan ikan buntal di Kampung Chamek, Paloh, Sabtu lalu tidak mengetahui ikan yang digorengnya itu beracun.

Menurut anak mangsa, Ng Ai Lee, 51, bapanya, Eng Kuai Sin@ Ng Chuan Sing, 84, membeli ikan itu daripada seorang penjaja van yang datang ke rumah orang tuanya itu dan sudah sekian lama menjadi pelanggan tetap.

Beliau berkata, keluarganya berasa kesal dan sedih kerana penjual berkenaan tidak memberitahu ikan dibeli bapanya itu sebenarnya beracun.

“Ini pertama kali bapa membeli ikan jenis itu dan ketika adik lelaki ketiga membawa bapa dan ibu ke hospital, bapa sempat memberitahu dia tidak tahu ikan yang dibelinya itu adalah ikan buntal dan beracun.

“Ini kali pertama bapa dan ibu makan ikan buntal dan tidak mungkin mereka memilihnya suka-suka kerana ibu seorang yang sangat teliti dan menjaga kesihatan.

“Saya ada menghubungi penjaja berkenaan sebelum ibu disahkan meninggal dunia dan memang selama ini bapa membeli ikan daripadanya kira-kira seminggu sekali.

“Tetapi, penjual itu berkata selama ini dia menjual ikan buntal dan semua pelanggannya ok, selain mendakwa punca keracunan mungkin kerana makanan lain atau faktor kesihatan bapa dan ibu,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, ibunya sudah selamat disemadikan di tanah perkuburan Cina berhampiran kediaman mereka hari ini, manakala bapanya masih tidak sedarkan diri di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, di sini.

“Saya mohon pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya supaya tiada lagi mangsa yang terkorban kerana penjualan ikan beracun itu yang tidak ada kawalan.

“Kenyataan awal mengatakan bapa membeli ikan berkenaan melalui tempahan di laman Facebook adalah tidak tepat.

“Ketika ini keluarga menghadapi saat sukar dan tidak tahu hendak mengambil tindakan apa melainkan membuat laporan polis.

“Tetapi, kami berharap pihak berkuasa dapat membela nasib bapa dan ibu yang menjadi mangsa sikap tidak bertanggungjawab penjual ikan beracun seperti ini yang sanggup merisikokan nyawa orang lain demi kepentingan sendiri,” katanya menurut Berita Harian.

Media sebelum ini melaporkan, seorang wanita maut, manakala suaminya dirawat di ICU Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom (HEBHK), selepas dikatakan memakan hidangan ikan buntal, Sabtu lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here