Pendirian kumpulan sivil kekal, gesa Azam letak jawatan di sebalik siasatan terhadap pemimpin PN

0
152

KUMPULAN sivil dan individu yang sebelum ini menuntut peletakan jawatan pegawai tertinggi antirasuah menegaskan pendirian mereka mengenai perkara itu tidak berubah, mengatakan Tan Sri Azam Baki perlu berbuat demikian walaupun siasatan masih dijalankan terhadap pemimpin pembangkang termasuk Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Azam yang juga ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), terlibat dalam kontroversi berhubung dakwaan konflik kepentingan dalam pemilikan sahamnya. 

SPRM di bawah pimpinannya membuka siasatan terhadap Muhyiddin dan Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saiful Wan Jan. 

Muhyiddin, yang menjadi perdana menteri selama 17 bulan antara 2020 dan 2021, dikenakan tujuh pertuduhan berkaitan inisiatif JanaWibawa, program pasca Covid-19 untuk membantu kontraktor Bumiputera. 

Wan Saiful pula didakwa meminta dan menerima rasuah RM6.9 juta, juga berhubung projek yang sama.

Suara Rakyat Malaysia (Suaram) berkata pertuduhan itu tidak bermakna rakyat perlu melupakan kes Azam.

“Walaupun siasatan SPRM ke atas kes-kes korupsi adalah terpuji, SPRM tidak boleh melaksanakan mandatnya menyiasat korupsi dalam semua sektor tanpa menunjukkan tauladan dalaman dan memastikan pegawai terutamanya kepimpinan mereka melaksanakan tanggungjawab dengan berintegriti,” kata Pengarah Eksekutif Suaram, Sevan Doraisamy.

Beliau turut mengulangi seruan Suaram agar Azam meletakkan jawatan atau digantung daripada jawatannya sekarang.

“Tidak melakukan ini bukan sahaja mencemarkan integriti SPRM, tetapi menggagalkan komitmen pentadbiran Anwar Ibrahim untuk melawan korupsi,” katanya.

Azam berada di bawah penelitian berhubung dakwaan pembelian saham dan waran pada 2015 serta 2016 di dua syarikat tersenarai awam. 

Beliau berkata ia dibeli oleh adiknya menggunakan akaun dagangan sahamnya, dengan menegaskan bahawa beliau tidak melakukan kesalahan.

Isu itu didedahkan oleh aktivis Lalitha Kunaratnam, yang berdepan perbicaraan kes saman fitnah difailkan Azam terhadapnya pada Julai.

Nur Qyira Yusri, pengasas Undi18 yang terlibat dalam Jawatankuasa Bertindak Tangkap Azam Baki berkata, semua pihak perlu terus menuntut akauntabiliti.

“Ini terutamanya kerana SPRM masih belum diletakkan di bawah Parlimen. 

“Sekurang-kurangnya, kaji semula kes itu,” katanya kepada MalaysiaNow.

Jawatankuasa itu pada awal tahun lepas menuntut Azam meletakkan jawatan dan ditangkap ekoran keterlibatan beliau dalam kontroversi pembelian saham.

Mereka turut menganjurkan satu perhimpunan di ibu kota untuk menyuarakan tuntutan tersebut.

Ia dianggotai antara lain Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil, Persatuan Patriot Kebangsaan dan Angkatan Belia Islam Malaysia, selain beberapa parti politik. 

Azam sebelum ini berkata, pemilikan saham itu sebenarnya milik adik beliau, Nasir Baki. 

Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah SPRM ketika bersidang untuk mendapatkan penjelasan Azam mendapati tiada konflik kepentingan dalam urusan pembelian saham itu.

Suruhanjaya Sekuriti (SC) pada awal tahun lalu membersihkan nama Azam daripada dakwaan konflik kepentingan berdasarkan siasatan badan itu.

“SC tidak dapat secara muktamad memutuskan pelanggaran di bawah Seksyen 25(4) Sicda berlaku.”

Sementara itu, ahli akademik Edmund Terence Gomez yang meletakkan jawatan sebagai panel SPRM sebagai protes terhadap Azam berkata pendiriannya tidak berubah.

“Saya tidak pernah menyatakan perubahan pendirian.

“Beliau harus letak jawatan jika SPRM ada kredibiliti,” katanya, lapor MalaysiaNow.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here