27 penyelidik terima geran penyelidikan MASA 2.0

0
137

INSTITUT Masa Depan Malaysia (MASA) terus memainkan peranannya sebagai peneraju penyelidikan dasar dalam menyokong penghasilan kajian berimpak tinggi yang menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara, dengan sekali lagi menawarkan geran penyelidikan MASA kohort-2 (MPDP 2.0).

Ketua Pegawai Eksekutif MASA, Azril Mohd. Amin, MPDP 2.0 merupakan kesinambungan daripada MPDP yang telah diperkenalkan pada September 2021.

“Ini adalah susulan kejayaan MPDP menghasilkan 30 kertas dasar yang memberi tumpuan kepada cadangan penyelesaian terhadap isu-isu kritikal pemulihan dan pembangunan ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan.

Azril berkata, para penyelidik MPDP telah menghasilkan penyelidikan berkualiti berkaitan kemiskinan situasi; pendidikan kumpulan B40; aspek perancangan bandar lestari bagi kumpulan B40; dan keterangkuman wilayah khususnya di Sabah dan Sarawak.

Turut dikaji aspek model perusahaan sosial bagi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS); potensi ekonomi hijau; sekuriti makanan, serta; pemerkasaan sektor ekopelancongan.

Pada tahun ini, sebanyak 27 kertas cadangan MPDP 2.0 telah terpilih daripada sejumlah 254 kertas cadangan yang dikemukakan oleh 29 buah Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/IPTS), dengan bidang tumpuan berikut; perubahan iklim; keterjaminan makanan;
pembinaan daya tahan kesihatan dan kesiapsiagaan krisis masa depan; menangani keciciran pembelajaran; memacu perniagaan; rumah mampu milik, dan; perlindungan sosial.

Senarai penerima geran MPDP 2.0 yang terpilih telah diluluskan dan dimuktamadkan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah MASA pada 27 Mac 2023.

Mereka yang berjaya akan menerima geran penyelidikan bernilai RM10,000 untuk kertas ringkasan polisi yang dihasilkan. Penerima geran MPDP juga digalakkan untuk menerbitkan laporan penyelidikan masing-masing dalam jurnal berwibawa, sama ada di dalam atau luar negara.

MASA mengucapkan sekalung tahniah kepada penerima geran penyelidikan MPDP yang berjaya. Semoga hasil penyelidikan MPDP 2.0 ini dapat memperkukuhkan misi dan visi MASA untuk mempromosikan gagasan kemakmuran bersama bagi manfaat seluruh rakyat Malaysia dan masyarakat sejagat.

Senarai penerima geran MPDP 2.0 boleh dilayari di laman sesawang https://institutmasa.com/ms/program-pembangunan-dasar-masa/.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here