Pemimpin PKR Sabah kesal PH dapat kurang jawatan lantikan politik

0
178

TIMBALAN Pengerusi parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Sazalye Donol mendakwa Pakatan Harapan (PH) diketepikan dalam pelantikan politik oleh kerajaan negeri, termasuk di peringkat kampung.

Menurut beliau, sekiranya amalan ini berterusan mungkin menyusahkan kerajaan negeri, lapor Malaysiakini.

“Jika seandainya perkara ini berterusan saya khuatir akan mengakibatkan kelancaran pemerintahan Kerajaan Perpaduan di Sabah tidak akan tercapai dan laungan kerajaan perpaduan di Sabah hanya omongan kosong sahaja,” katanya pada satu kenyataan malam tadi.

Sazaly berkata demikian selepas beliau bagi pihak PH Kota Marudu Harapan menyerahkan memorandum kepada Presiden UPKO, Ewon Benedick.

Memorandum itu menyeru Ewon untuk menyampaikan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor tuntutan PH untuk jawatan dalam majlis tempatan, jawatankuasa kampung dan lain-lain.

Pada masa ini, Sazaly yang juga Ketua Cabang PKR Kota Marudu berkata, pelantikan politik di daerah itu kebanyakannya didominasi oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

GRS pimpinan Hajiji pada mulanya merupakan cabang Perikatan Nasional di Sabah.

Bagaimanapun, selepas pilihan raya umum ke-15, Hajiji menyelaraskan semula GRS untuk berpihak kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hajiji juga telah melantik dua pemimpin PH Sabah, Christina Liew dan Phoong Jin Zhe memegang jawatan dalam Kabinet negeri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here