Penganalisis gesa tambah ahli Parlimen dalam jawatankuasa

0
140

SEORANG penganalisis politik menggesa penambahan bilangan Ahli Parlimen dalam 10 Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat Parlimen untuk menangani jumlah portfolio yang banyak, diawasi oleh setiap kumpulan.

Wong Chin Huat dari Sunway University berkata, setiap jawatankuasa terdiri daripada sembilan ahli Parlimen dan mencadangkan ditambah kepada 16 orang.

“Ini akan membolehkan sejumlah 160 Ahli Parlimen terlibat dalam urusan pengawasan, di samping 14 yang sudah ada dalam Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

“Pada masa ini hanya 104 ahli Parlimen berkhidmat dalam jawatankuasa, manakala 67 lagi tidak terlibat,” katanya memetik laporan FMT.

Menurutnya, dengan bayaran RM16,000 sebulan untuk wakil rakyat, tanpa mengira elaun lain, kos untuk membayar 67 Ahli Parlimen yang ‘tidak ada kerja’ selama lapan bulan akan menyebabkan pembaziran sebanyak RM8.5 juta.

“Membayar pekerja tanpa meminta mereka bekerja adalah satu pembaziran. Jika kita membayar Ahli Parlimen sebanyak itu, mengapa tidak melibatkan mereka untuk duduk dalam sebanyak mungkin jawatankuasa,” soalnya.

Bagaimanapun, tiada ahli Parlimen harus terlibat dengan lebih daripada satu jawatankuasa Parlimen.

Awal minggu ini, Dewan Rakyat menubuhkan 10 jawatankuasa Parlimen iaitu kewangan dan ekonomi; keselamatan; kesihatan; perdagangan dalam negeri, keusahawanan, kos sara hidup dan pertanian; infrastruktur, pengangkutan dan komunikasi; pembinaan negara, etnik, pendidikan dan pembangunan sumber manusia; pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat; alam sekitar, sains dan perladangan; hubungan antarabangsa dan perdagangan antarabangsa; hak asasi manusia, pilihan raya, dan reformasi institusi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, jawatankuasa Parlimen yang bertanggungjawab ke atas kementerian kritikal seperti kesihatan, pendidikan, pertahanan, hal ehwal dalam negeri, alam sekitar, dan perubahan iklim harus dikekalkan untuk ‘kesinambungan institusi’.

Chin Huat juga menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyediakan lebih banyak sumber kepada Parlimen untuk menubuhkan seberapa banyak jawatankuasa yang perlu.

“Parlimen yang beroperasi sepenuhnya akan menggalakkan kestabilan politik apabila ahli Parlimen pembangkang meningkatkan kepakaran mereka dan mengurangkan idea populis mereka,” katanya.

Kumpulan reformasi pilihan raya Bersih berkata, jika mustahil untuk meningkatkan bilangan ahli Parlimen dalam jawatankuasa, maka lebih banyak jawatankuasa perlu diwujudkan dengan memecahkan beberapa daripadanya untuk mengurangkan kementerian yang dipantau setiap jawatankuasa.

“Wujudkan jawatankuasa yang lebih fokus,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.

Pakar Parlimen, Maha Balakrishnan berkata, jawatankuasa baharu itu kini diberi kuasa untuk menyiasat isu tanpa persetujuan menteri berkaitan.

“Mereka mempunyai kuasa untuk menyemak rang undang-undang dan petisyen, dan menyiasat sebarang perkara dalam bidang dasar mereka.”

Dengan garis panduan baharu itu, Maha berkata jawatankuasa itu akan dapat beroperasi dengan lebih tersusun dan profesional.

“Mereka yang dipanggil jawatankuasa boleh merasa yakin bahawa hak dan kepentingan mereka akan dilindungi,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here