‘Menu Rahmah sekadar fasad politik menutup kebenaran’, kata MUDA

0
222

INISIATIF Menu Rahmah disifatkan sebagai penyelesaian jangka pendek untuk mengatasi krisis ekonomi utama iaitu kos harga makanan yang meningkat.

Ketua Penerangan MUDA Wilayah Persekutuan, Shah Fariq Aizal Shah Ghazni, berkata Menu Rahmah masih mempunyai kelemahan sendiri kerana ia hanya memberi fokus kepada sesetengah peniaga.

Menurutnya, peniaga yang mempunyai perniagaan lebih stabil dalam menyediakan juadah selaras dengan inisiatif dilancarkan kerajaan itu, mendapat manfaat berbanding peniaga yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

“Kesannya, peniaga yang ingin menawarkan Menu Rahmah hanya sedikit. Ini membuktikan Menu Rahmah yang diwarwarkan hanya satu lagi fasad politik yang menutup kebenaran sebenar kos harga makanan yang semakin meruncing sekaligus membebankan lagi rakyat yang tidak mampu untuk membeli makanan pada harga yang rendah dan berpatutan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shah Fariq Aizal berkata, kegusaran rakyat mengenai tahap kebersihan dan kualiti makanan yang dihasilkan dalam Menu Rahmah juga salah satu asbab mengapa inisiatif ini dipertikaikan.

Beliau berkata, umum sedia maklum bahawa penghasilan makanan yang bersih dan berkualiti memerlukan kos yang tinggi.

Katanya, ini menunjukkan Menu Rahmah adalah terbatas dari segi pemilihan makanan untuk rakyat nikmati dan juga buat para peniaga untuk menawarkan juadah yang berkhasiat.

“Oleh itu, bagi memastikan kesejahteraan rakyat kekal terjamin, kerajaan perlu memastikan kesedaran mengenai krisis ekonomi difahami.

“Selain itu, usaha untuk memperhalusi inisiatif-inisiatif lain juga dapat membantu meringankan beban rakyat sekaligus mencapai matlamat Malaysia Madani.

“Diharapkan dengan adanya pelaksanaan program kesedaran yang betul seperti bertemu dengan rakyat setempat untuk memahami keresahan mereka dapat dilaksanakan sekaligus meningkatkan keupayaan masyarakat untuk meneruskan kehidupan seharian selain daripada mengharapkan satu inisiatif begini sahaja,” katanya, lapor BH Online.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here