Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Ganggu pembahagian kerusi punca PN tolak Pejuang- Tuan Ibrahim -

Ganggu pembahagian kerusi punca PN tolak Pejuang- Tuan Ibrahim

PARTI Pejuang Tanah Air (Pejuang) ditolak menyertai Perikatan Nasional (PN) kerana tidak mahu pembahagian kerusi antara parti gabungan itu terganggu menjelang pilihan raya negeri (PRN).

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PN khuatir kemasukan parti baharu ketika dekat dengan PRN akan mengganggu perbincangan yang sedang berjalan.

“Masa dia masuk dekat PRN … parti komponen PN sudah bincang bila terima masuk ia mungkin akan mengganggu proses perbincangan yang sedang berjalan,” katanya memetik laporan FMT, hari ini.

Turut dipertimbangkan status ‘parti picisan’ Pejuang yang diasaskan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad itu, yang menurut Tuan Ibrahim tidak akan beri impak besar kepada usaha ‘penyatuan ummah’ yang sering dilaungkan Pas.

“Penyatuan ummah tidak akan berlaku sebab mereka bukan parti utama sepertimana UMNO atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Walaupun Pejuang masuk pilihan raya, ia kalah hampir semua dan mereka akui hilang deposit,” katanya.

Pejuang tewas di semua kerusi yang ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-15, termasuk Mahathir dan presidennya, Datuk Seri Mukhriz.

Kelmarin PN mengumumkan ia menolak permohonan Pejuang untuk menyertai gabungan itu, yang dipimpin oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pejuang ditubuhkan oleh Mahathir pada Ogos 2020 selepas Bersatu menggugurkan keahlian beliau dan beberapa penyokongnya.

Selepas permohonan ditolak, Setiausaha Agung Pejuang, Amiruddin Hamzah berkata, partinya kecewa iltizam dan matlamat untuk tidak memecahkan undi orang Melayu tidak disambut pimpinan PN.

Tuan Ibrahim tidak menolak Pejuang memohon untuk menyertai PN demi menyelamatkan beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) parti itu.

Empat kerusi DUN diwakili oleh wakil rakyat Pejuang iaitu Jitra dan Anak Bukit di Kedah serta Jeram dan Kuang di Selangor – Mukhriz adalah ADUN Jitra.

“Saya jangka mereka tahu dengan bersendirian dia tak boleh pertahan kerusi itu maka dia cari gabungan lain,” katanya.

Tuan Ibrahim, yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berpendapat, lebih wajar Pejuang dibubarkan dan ahlinya menyertai Pas atau Bersatu jika mahu terus memperjuangkan bangsa dan agama.

“Itu lebih baik berbanding banyakkan parti kecil kerana akhirnya ia akan menimbul masalah,” katanya.

Beliau menepis dakwaan penolakan Pejuang itu bermakna PN menolak agenda penyatuan ummah yang diperjuangkan Pas.

“Kalau betul-betul nak lihat dari segi kebersamaan dalam pasukan pembangkang, lebih baik masuk parti dalam PN sedia ada sebab dia asalnya dari Bersatu dan bentuk parti lain,” ujar beliau.