Lebih ramai keluarga bergelut kos sara hidup meningkat

0
139

JIKA diikutkan pada penyata gaji bulanan Rashid dan isterinya, Akma yang mencecah hampir RM10,000 bila digabungkan, mereka sepatutnya tidak berada dalam situasi yang sukar melibatkan isu kewangan. 

Bagaimanapun, pasangan suami isteri itu mendapati mereka semakin kekurangan wang simpanan sehingga terpaksa menggunakan wang tabungan untuk masa depan empat orang anak yang masih di kecil dan bersekolah. 

Bercakap kepada MalaysiaNow, Rashid, 37, berkata semuanya bermula pada Januari apabila dia mula perasan wang yang diperuntukkan untuk belanja dapur meningkat sebanyak RM117-RM120 sebulan sedangkan kuantiti dan jenis barangan yang dibeli adalah sama setiap bulan.

Bahkan, dia dan isteri juga mengurangkan item yang dibeli untuk berjimat tetapi harga yang dibayar masih tinggi.

Ketika itu mereka sedar harga barangan sememangnya sudah makin tinggi dan tidak mampu lagi membeli dengan kuantiti yang biasa.

Masuk bulan Februari, mereka juga perlu mengeluarkan belanja yang lebih kerana cuti persekolahan akhir penggal akhir bagi sesi 2022.

Ketika itu, katanya, dia dan isteri perlu menyediakan belanja yang lebih untuk memasak dan membayar pengasuh sepanjang cuti persekolahan kerana anak-anak berada di rumah sewaktu mereka bekerja. 

Masuk sahaja bulan Mac, Rashid pening memikirkan kos perbelanjaan untuk kembali ke sekolah sempena pembukaan sesi persekolahan yang bermula minggu depan.

Anak sulungnya memerlukan pakaian baru selepas lebih dua tahun tak bertukar kerana tidak hadir ke sekolah secara fizikal.

Kini, tubuh badan anak-anaknya juga semakin tinggi dan besar memerlukan dia membelikan pakaian seragam yang baru.

“Bulan Mac juga saya dengan isteri kena simpan duit untuk puasa. Tapi, kami tak boleh nak asingkan langsung untuk belanja puasa.

“Ini buatkan kami risau. Poket makin kering dan mungkin kami ikat perut untuk berpuasa,” kata suami isteri itu ketika dihubungi MalaysiaNow.

Rashid dan Akma yang bekerja dalam sektor perkhidmatan awam antara puluhan ribu keluarga yang sedang bergelut dengan krisis kos sara hidup yang semakin menghimpit kehidupan seharian rakyat Malaysia. 

Tinjauan di media sosial juga mendapati lebih ramai keluarga merentasi kaum menyuarakan kebimbangan masing-masing terhadap kemelut kewangan dan sara hidup yang semakin tidak menentu.

Rata-rata mereka mengakui tidak bersedia untuk berdepan bulan Ramadan dan seterusnya sambutan Aidilfitri yang sememangnya memerlukan perbelanjaan lebih tinggi untuk pulang ke kampung dan penyelenggaraan kenderaan.

Sejak awal tahun 2023, ahli dan pakar ekonomi sudah memberi amaran kenaikan harga barang dan kos sara hidup sama ada di bandar atau luar bandar akan terus menjadi cabaran sepanjang tahun.

Ini terutamanya apabila dilaporkan kadar inflasi di Malaysia akan berada sekitar 4.0 hingga 5.0% tahun ini.

Dengan kadar itu, kesan inflasi dijangka terus memberi tekanan kepada kehidupan rakyat.

Dalam pada itu, pakar kewangan keluarga Fazli Sabri mengakui kewujudan kebimbangan tersebut dalam kalangan masyarakat buat masa ini.

Katanya, keadaan ini seharusnya menjadi titik tolak dalam kehidupan seharian masyarakat untuk semua berubah.

Katanya, berdasarkan kajian-kajian semasa mendapati majoriti individu tidak membuat perancangan rapi untuk perbelanjaan yang dipanggil “seasonal expenses” ataupun perbelanjaan bermusim.

Contohnya perbelanjaan untuk musim sekolah, cuti sekolah dan perayaan.

Disebabkan itu, ianya menjadi bebanan dan menimbulkan masalah kepada rata-rata individu atau keluarga.

“Berapa kali sudah kita melalui perbelanjaan musim persekolahan? Berapa banyak juga kita lalui musim perayaan? 

“Banyak kali, bukan? Perkara yang sama juga tiap-tiap tahun alami dan lalui,” katanya kepada MalaysiaNow.

Atas sebab itu, beliau menyifatkan sikap itu seolah-olah seperti tidak belajar daripada pengalaman yang lepas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here