MP tak boleh disiasat berhubung kenyataan dalam Dewan Rakyat – Speaker

0
190

SEORANG ahli parlimen tidak boleh disiasat atas kenyataannya di dalam Dewan Rakyat sekiranya ia tidak menyentuh isu berkaitan Akta Hasutan, penghinaan terhadap Raja-raja Melayu dan kenyataan yang melanggar Perlembagaan Persekutuan, kata Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul.

Justeru, Johari berkata dia tidak perlu memulakan siasatan terhadap Datuk Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) yang sebelum ini mendakwa didesak untuk memperbetulkan kenyataannya di berhubung isu telur import dari india.

“Tidak ada mana-mana undang-undang yang boleh dikenakan terhadap ahli parlimen yang bercakap dalam parlimen, kalau dia bercakap di luar parlimen, lain cerita,” kata Johari, lapor MalaysiaKini.

Johari berkata demikian sebagai respons terhadap gesaan Pengerusi Kelab Penyokong-Penyokong Kerajaan (Backbenchers), Johari Abdul Ghani yang meminta dia menyiasat dakwaan bahawa Wee menerima ‘tekanan’.

Isu itu bermula pada 22 Feb lalu apabila Wee membangkitkan isu telur import dengan membawa tiga jenis telur ke Dewan Rakyat.

Dia berbuat demikian bagi membandingkan saiz dan harga antara telur keluaran tempatan dan yang dimport dari India.

Seminggu selepas itu, Wee berkata dia menerima surat saman daripada peguam syarikat yang mengimport telur dari India itu berhubung kenyataannya di parlimen.

Baru-baru ini, Wee berkata Deepak Jaikishan ada menghubunginya dan ahli perniagaan itu menggunakan nama Pejabat Perdana Menteri (PMO) supaya dia membetulkan kenyataannya berhubung isu import telur berkenaan.

Meskipun dalam perbahasannya Wee tidak menyebut nama penuh Deepak, tetapi Malaysiakini kemudian menerima pengesahan bahawa individu yang dimaksudkannya itu ialah Deepak Jaikishnan.

Kenyataan itu dibuat Wee selepas pemimpin Bersatu, Azmin Ali pada 12 Mac lalu mendakwa kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim menganugerahkan kontrak mengimport telur dari India kepada Deepak.

Susulan itu, syarikat J&E Advance Tech Sdn Bhd, yang merupakan syarikat tunggal yang mengimport telur berkenaan turut mengancam menyaman Azmin.

Johari sebelum ini berkata syarikat itu tidak boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap Wee kerana wakil rakyat itu menikmati perlindungan undang-undang ketika berucap di Dewan.

“Saya sudah beri jawapan apabila Datuk Seri Wee Ka Siong tulis kepada saya ada peguam nak saman dia, saya kata tidak boleh sebab apa sahaja yang dia cakap asalkan tidak bercanggah dengan Akta Hasutan dan tidak menghina Raja-raja Melayu, dia boleh bercakap apa pun.

“Tapi bila bercakap dalam parlimen, saya rasa mana-mana peguam itu tidak faham Perlembagaan Persekutuan. Dia kena baca Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here