Kenamaan antara akan dipanggil SPRM bantu siasatan kes LCS

0
122

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bakal memanggil lebih ramai individu yang mungkin juga orang kenamaan bagi diambil keterangan berhubung siasatan kes pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya tidak akan memberi pengecualian dan perlindungan kepada mana-mana pihak.

“Kita mendapat maklumat daripada pegawai penyiasat bahawa ramai lagi saksi-saksi akan dipanggil untuk diambil keterangan dan keterangan itu bukan sahaja di dalam negara tetapi juga membabitkan dari luar negara.

“Sesiapa sahaja baik orang kenamaan, atau sesiapa yang terbabit semuanya akan dipanggil bantu siasatan,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Pegawai SPRM Siri 26 Bil 1/2020 (Penolong Penguasa P29 di Kompleks SPRM Negeri Johor hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan bahawa siasatan berhubung isu pembinaan LCS itu perlu diteruskan.

Anwar berkata, pendakwaan berhubung isu pembinaan LCS pada peringkat awal yang dijalankan sebelum ini tidak mencukupi memandangkan ia melibatkan skandal berskala besar dan ketirisan, malah mendakwa pendakwaan sebelum ini juga tidak melibatkan tindakan kepada orang-orang yang lebih utama yang dikatakan terlibat dalam isu perolehan LCS tersebut.

Sehubungan itu, Perdana Menteri sudah menyatakan perkara berkenaan kepada SPRM dan dipersetujui oleh mereka akan ada pendakwaan peringkat kedua.

“Namun, itu bukan urusan saya untuk mendalami dan bertanya lebih, nanti jika saya buat begitu akan ada tuduhan (yang menyatakan) wujud pendakwaan terpilih,” kata Anwar.

Mengulas lanjut, Azam memaklumkan, siasatan kes itu sebenarnya masih lagi dijalankan pihaknya bagi membuktikan bagaimana berlaku kehilangan wang begitu besar dalam kes LCS.

“Siasatan kes ini ke arah untuk membuktikan bagaimana ia berlaku dan bagaimana kehilangan wang begitu besar berlaku, jadi beri masa kita untuk siasat dan selesaikan kes ini,” katanya.

Pada masa sama, Azam turut memaklumkan perkembangan membabitkan kes Jana Wibawa masih lagi berjalan.

“(Kes Jana Wibawa) masih ade lagi, masih teruskan siasatan. Yang dah dituduh, dituduhlah, tetapi masih ada lagi satu dua fail yang masih kita jalankan siasatan,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here