‘Bahang’ kenaikan harga barang persekolahan terus himpit ibu bapa

0
278

KENAIKAN harga barangan kelengkapan sekolah memang dirasai kebanyakan ibu bapa lebih-lebih lagi mereka yang mempunyai ramai anak yang akan memasuki sesi persekolahan baru tidak lama lagi.

Tinjauan SatuBerita mendapati, rata-rata ibu bapa mengeluh kerana terdapat peningkatan harga bagi kelengkapan persekolahan menyebabkan mereka mengambil keputusan tidak membeli semua kelengkapan baharu, sebaliknya apa yang perlu saja.

Bagi suri rumah, Sharipah Noorhayati Syed Abdul Aziz,44, berkata peningkatan dirasai dari segi harga berbanding tahun lalu terutama pakaian dan peralatan sekolah.

“Hari ini saya beli dua pasang baju, sepasang kasut dan sehelai tudung untuk anak yang nak masuk tingkatan satu.

“Bayangkan untuk 4 barangan itu sahaja sudah mencecah RM200. Itu baharu seorang anak. Untuk anak sulung yang memasuki tingkatan dua, pakai apa sahaja yang masih boleh dipakai.

“Zaman ini bukan zaman untuk membazir tapi zaman untuk berjimat cermat. Mana yang boleh pakai, kita pakai,” katanya yang menetap di Sungai Buloh, Selangor.

Bagi Roslina Mohd Yusop, 45, pula berkata, dia sengaja membeli belah keperluan persekolahan anak saat akhir kerana menanti diskaun.

“Selain sibuk, saya juga menanti potongan harga kerana lazimnya membeli saat akhir terdapat potongan sehingga 20 peratus.
“Memadai daripada harga asal kerana saya perlu beli untuk tiga orang anak yang akan memasuki tingkatan satu, matrikulasi dan universiti yang memerlukan serba serbi baharu,” katanya.

Bagi Nor Salmi Taib, 44, dia berbelanja kira-kira RM2,000 untuk keperluan sekolah dua orang anaknya termasuk yuran sekolah.

“Anak saya berusia tujuh tahun dan biasalah budak tahun satu memerlukan persediaan lebih. Untuk baju sahaja sesi pagi dan petang, saya beli 10 pasang baju termasuk baju pendidikan jasmani.

“Harga keperluan sekolah tahun ini amat berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini. Dahulu kasut sekolah berharga RM30 sekarang paling murah RM40. Itupun selepas diskaun.

“Baju sekolah pula RM39 sehelai berbanding tahun lalu kira-kira RM30. Pendek kata semua mahal,” katanya yang bekerja sebagai eksekutif di sebuah syarikat swasta.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here