Saya tidak pertikai kedaulatan Pulau Pinang – Sanusi

0
184

DAKWAAN kononnya Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mempertikai kedaulatan Pulau Pinang seperti digembar-gembur beberapa pihak dinafikan Menteri Besar Kedah itu.

Muhammad Sanusi menjelaskan, beliau hanya menyatakan bahawa Pulau Pinang merupakan sebuah negeri pajakan dan langsung tidak menyentuh soal Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, kenyataan itu dibuat setelah Kedah menerima komen-komen yang terlalu ‘menyakitkan’ dari Pulau Pinang termasuk melibatkan aspek pembangunan Kedah

“Kedah nak buat apa semua dia komen, kononnya itu tak boleh, ini tak boleh. Sedangkan Kedah ini negeri berdaulat yang ada kerajaan, Sultan, rakyat dan undang-undangnya sendiri.

“Hangpa (anda) nak kacau (sebab) apa sedangkan saya tak sebut pun pasal Pulau Pinang. Jadi bila komen dia terlalu banyak tentang usaha membangunkan negeri kita, kita sebutlah juga tentang mereka yang negeri pajakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan Mesyuarat Penggal Keenam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah ke-14 di Wisma Darul Aman, hari ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow sebelum ini mengingatkan Muhammad Sanusi berhati-hati dalam ucapannya agar tidak mendedahkan diri kepada kesalahan di bawah Akta Hasutan kerana menimbulkan perasaan ‘kurang senang’ dalam kalangan penduduk kedua-dua negeri.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri mendedahkan beliau tahu siapa wakil rakyat negeri Kedah yang menjadi ‘jurucakap’ kepada Pulau Pinang.

“Saya tahu siapa yang dia jadi ADUN Kedah tetapi bercakap bagi pihak Pulau Pinang dalam persidangan ini,” katanya.

Sementara itu, beliau memaklumkan apa yang dibangkitkannya adalah isu-isu berkaitan entiti yang membentuk kedaulatan yang juga merupakan asas kepada ilmu politik.

“Saya cuma nyatakan apakah perkara yang membentuk kedaulatan sesuatu negeri dan perkara itu turut disebutkan dalam ceramah saya di Sik yang dipersoalkan mereka.

“Perkara itu merupakan ilmu dipelajari dalam sains politik dan telah saya jelaskan dalam ceramah tersebut. Tiba-tiba saya ditafsir sebagai mempertikai Perlembagaan Persekutuan dan tindakan itu saya fikir dibuat setelah mereka mengambil perkara tersebut di luar konteks ceramah,” katanya.

Tambahnya, isu berkaitan Pulau Pinang akan dijelaskan pada waktu lain memandangkan kesuntukan masa pada Sidang DUN kali ini.

“Saya ada dokumen sangat tebal berkaitan hal Pulau Pinang. Walaupun hal sejarah ini mempunyai laporan berbeza berdasarkan dokumen dikumpulkan, tetapi saya akan terus adakan sesi libat urus dengan ahli serta pakar sejarah dan undang-undang untuk meneliti perkara ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here