‘Kerajaan cakap tak serupa bikin isu lantik pemimpin politik dalam GLC’

0
172

LANTIKAN beberapa pemimpin politik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi kerajaan dalam Kerajaan Perpaduan, dikritik beberapa pihak yang menyifatkan langkah itu sebagai ‘cakap tidak serupa bikin’

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) membidas lantikan politik itu bercanggah dengan pendirian kerajaan dan keputusan Kabinet yang sebelum ini menamatkan lantikan politik secara serta merta.

Pengerusi BERSIH, Thomas Fann, menyifatkan pelantikan politik bercanggah pendirian kerajaan sebelum ini dan merugikan pengundi jika ia membabitkan wakil rakyat pada masa ini.

“Masa dan perhatian mereka akan dibahagikan antara melaksanakan tugas parlimen dan korporat mereka. Ahli Parlimen dan ADUN sepatutnya dilarang daripada memegang jawatan dalam GLC.

“GLC adalah penjaga kekayaan dan sumber awam dan kita perlu melantik orang yang paling layak untuk menambah nilai kepada entiti korporat ini daripada menghabiskan dananya melalui gaji dan faedah yang lumayan.”Dalam senario terburuk, dana boleh dialihkan secara rasuah untuk kepentingan peribadi,” katanya dalam satu kenyataan disiarkan BH Online.

Hari ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengumumkan bekas Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, dilantik semula sebagai Pengerusi FELCRA.

Disember lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menangguhkan pelantikan Ahmad Jazlan sebagai Pengerusi FELCRA bagi membolehkan penyelarasan lantikan di semua badan berkanun, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta agensi lain, dilaksanakan.

Baru-baru ini, Ahmad Zahid turut mengesahkan pelantikan bekas Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebagai Pengerusi MARA, agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Minggu lalu, kerajaan juga mengumumkan pelantikan bekas Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya yang juga Ahli Parlimen Balik Pulau PKR, Bakhtiar Wan Chik sebagai pengerusi MyCreative Ventures Sdn Bhd.

MyCreative ialah anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan dan melapor kepada Kementerian Komunikasi dan Digital.

Sementara itu, penganalisis politik dan media sosial daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Madya Dr Sara Chinnasamy, berkata lantikan politik seumpama itu sudah pastinya memberikan persepsi kekeliruan kepada semua pihak.

Katanya, tindakan itu seolah mengambil jalan pilih kasih dan cakap tidak serupa bikin.

“Sebelum ini kerajaan campuran mengambil keputusan penamatan jawatan lantikan politik pengerusi dan ahli lembaga pengarah kerana lantikan politik tapi kini lantikan politik terus digunakan.

“Sekejap kata boleh dan sekejap kata tidak boleh? Kelangsungan konsistensi itu memang tiada,” katanya.

Beliau berkata, dengan itu, ketidakpercayaan rakyat semakin menebal terhadap ketelusan kerajaan dalam melaksanakan janji mereka.

“Apa pun justifikasi yang mereka berikan kepada rakyat, ia tetap sukar diterima dan perubahan keputusan juga akan dijadikan satu parameter untuk mengukur kerajaan campuran ini dari segi ketelusan penyaluran maklumat kepada rakyat,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim, berkata MCW memandang positif pelantikan pemimpin politik dalam GLC.

Katanya, ahli politik yang mempunyai pengalaman dan kepakaran serta kelulusan profesional wajar dilantik jika tiada calon lain yang lebih berkelayakan.

“Ahli politik ini pasti mempunyai akses dan sumber penting seperti kawalan dan pengaruh politik yang diperlukan untuk menjadikan GLC berjaya.

“Selain itu, lantikan ini juga dapat memastikan bahawa keputusan-keputusan GLC selaras dengan dasar kerajaan dan objektif nasional.

“Namun, mereka mestilah diberikan latihan pengukuhan integriti dalam memastikan masalah salah guna kuasa yang sering berlaku dapat dikekang,” katanya.

Beliau juga mahu kuasa yang diberikan kepada pemimpin politik dipantau dengan teliti dengan pelbagai SOP diperkenal dan diperketatkan.

“Mereka perlu diberikan taklimat khusus berkenaan limitasi kuasa sebagai rujukan dan garis panduan pentadbiran. Nilai integriti diri mereka juga perlu diuji dan diperkasakan.

“Pelantikan terkini kerajaan ini pasti akan diteropong secara terperinci kerana mereka pernah menyatakan untuk tidak mahu lantikan politik menerajui GLC,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here