Jual kasut untuk bayar yuran sekolah anak – Pemilik kedai bundle kongsi kisah hiba

0
710

SETIAP kali menjelang sesi persekolah baharu, pasti ibu bapa resah memikirkan soal perbelanjaan dan yuran persekolahan anak-anak.

Tahun ini, sesi persekolahan dibuka pada bulan Mac serentak dengan sambutan Ramdan dan Aidilfitri tidak lama lagi.

Ramai ibu bapa yang melahirkan kegusaran mengenai perbelanjaan sekolah dan perayaan ditambah kelembapan ekonomi, inflasi dan cuaca yang tidak menentu.

Bagi pemilik kedai bundle Brothers, Samsir Karuni, 38 insiden didatangi seorang pelanggan yang mahu menjual kasut demi membayar yuran persekolahan anaknya mengundang hiba.

Bercerita lanjut mengenai insiden itu di live Facebook Bundle Brothers, Samsir mengakui dia agak terkesan dan sebak apabila diberitahu oleh pemuda itu yang dia memerlukan RM200 untuk digunakan membayar yuran sekolah anaknya.

“Pemuda itu datang memberi saya tujuh pasang kasut miliknya dengan harapan ia mencecah RM200. Saya terpaksa tolak sebab saya peniaga bundle tidak kira dia beli di butik ke, mahal ke, ‘rate’ saya paling tinggi 50 hingga 60 ringgit.

“Kalau dia minta 7 pasang RM200 berapa pulak saya nak jual. ‘Rate’ kasut bundle memang macam tu. Bila saya tawarkan satu harga yang cukup murah dia macam tersentak lingkaran mata mula berkaca.

“Saya rasa bersalah dan bertanya adakah saya terlepas cakap atau terlalu murah. Kalau ikut pengalaman saya memang itulah ‘rate’ yang boleh saya bagi. Kemudian dia beritahu dekat saya dia jual kasut semata-mata mahu dapat 200 sebab mahu selesaikan yuran sekolah anak,” katanya ketika dihubungi SatuBerita.

Menurut Samsir, beliau berkongsi pengalaman ini untuk memberitahu masyarakat bahawa kesempitan hidup rakyat pada masa kini ada perkara nyata dan benar-benar berlaku.

Katanya, selama ini dia berasa dia paling susah rupanya ada lagi individu lebih susah dari dirinya sehingga mahu menjual kasut terpakai demi yuran sekolah anak.

“Saya harap PM dapat tengok tapi sapalah saya nak beri pandangan, cuma apa yang berlaku hari ini buat saya rasa wow dan menitik air mata.

“Sudah dua pelanggan datang ke kedai saya semata-mata mahu jual kasut kerana mahu selesaikan yuran sekolah anak mereka.

“Kalau tidak dapat keluarkan wang simpanan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) sehingga RM10,000, berilah sekurang-kurangnya RM5,000. Rakyat perlu sekarang bukan lepas pencen nnti,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here