Tahniah Michelle Yeoh, Oscar akhirnya dalam genggaman

0
295

TAN Sri Michelle Yeoh melakar sejarah paling gemilang dalam kerjaya seninya apabila ditabalkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik pada acara Anugerah Akademi ke-95 (Oscars 2023) sebentar tadi.

Pada acara gemilang yang berlangsung di Dolby Theatre, Los Angeles, Amerika Syarikat itu, pelakon kelahiran Malaysia merangkul anugerah berkenaan menerusi lakonannya dalam filem ‘Everything Everywhere All at Once’.

Michelle, 61, yang anggun dalam persalinan berwarna putih tidak mampu menyembunyikan kegembiraan ketika di pentas semasa menerima trofi yang menjadi dambaan pelakon-pelakon dari seluruh dunia, lapor Astro Awani.

Beliau ditemani tunangnya, Jean Todt, kejayaan bintang asal kelahiran di Ipoh, Perak itu sekali gus menjadi wanita bukan kulit putih pertama yang memenangi kategori itu selepas selang masa dua dekad, sejak Halle Berry memenanginya pada tahun 2002.

Bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik, Michelle berdepan dengan saingan Andrea Riseborough yang membintangi filem To Leslie; Cate Blanchett (Tar); Michelle Williams (The Fabelmans) dan Ana de Armas (Blonde).

Nama aktres yang memegang watak Evelyn Quan Wang dalam filem arahan Dan Kwan dan Daniel Scheinert itu disebut-sebut sebagai calon yang bakal memenangi kategori tersebut.

Michelle juga sebelum ini meraih trofi sama pada beberapa acara anugerah termasuk Anugerah Golden Globe dan Screen Actors Guild Awards (SAG).

Selain kategori Pelakon Wanita Terbaik yang dimenangi Michelle, filem ‘Everything Everywhere All at Once’ turut merangkul kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik yang disandang oleh Jamie Lee Curtis dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dimenangi Ke Huy Quan.

Kategori lain yang turut dimenangin filem ‘Everything Everywhere All at Once’ ialah Lakon Layar Terbaik dan Suntingan Terbaik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here