Selepas Wee, pengimport telur dari India mahu saman Azmin

0
219

SYARIKAT tunggal yang diberi kontrak khas untuk mengimport telur dari India menyerang pemimpin Bersatu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, mengancam untuk menyaman bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu hanya beberapa hari selepas menghantar surat tuntutan kepada Presiden MCA Datuk Wee Ka Siong.

Ancaman terbaru syarikat itu, J&E Advance Tech Sdn Bhd, hadir dua hari selepas ucapan Azmin yang mengatakan sebuah syarikat dikaitkan dengan ahli perniagaan kontroversi Deepak Jaikishan dianugerahkan kontrak itu melalui rundingan terus.

Syarikat tersebut dalam satu kenyataan yang dilampirkan bersama serangan terhadap kecenderungan politiknya, berkata Azmin terdesak “untuk mencipta suatu pengalihan dari isu bagi mengambil pendekatan ‘pintu belakang’ kegemarannya dengan menggunakan ‘lame spin’ dari suatu pengimportan telur biasa kepada satu senario palsu mengenai ‘rundingan terus’ oleh Kerajaan Malaysia untuk ‘membeli telur import’ dari kami”.

Menurut syarikat itu ia hanya mengimport telur sebagai “langkah sementara” semasa musim perayaan bagi membantu menyelesaikan kekurangan yang serius di pasaran “yang menyebabkan kami memohon kebenaran daripada kerajaan Malaysia untuk mengimport telur”.

Semakan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan dua pemegang saham dalam syarikat itu iaitu Jeena Giri dan Shahrizal Ahmad, kedua-duanya adalah pemegang saham berjumlah RM850,000.

Azmin tidak menamakan J&E Advance Tech dalam ucapannya di pusat tarbiyyah PAS di Gombak semasa majlis yang dihadiri pemimpin tertinggi Perikatan Nasional (PN) pada malam Sabtu.

Bulan lalu, syarikat yang sama menghantar surat tuntutan kepada Wee berhubung perbahasannya di Parlimen yang mempersoalkan kualiti telur dari India.

Wee berkata kiriman surat peguam itu menghairankan kerana ucapan itu dibuat atas kapasitinya sebagai wakil rakyat yang berucap di Dewan Rakyat, malah beliau juga tidak menamakan mana-mana pihak.

“Saya tidak menyebut nama tetapi saya masih kena saman,” katanya.

Minggu lalu, sebuah blog mempersoalkan kaitan Deepak dalam langkah mengimport telur dari India, dan menerbitkan gambarnya bersama Mohamad Sabu sewaktu penerbangan mereka ke Chennai, India.

MalaysiaNow cuba mendapatkan maklum balas daripada Mohamad dan Deepak untuk mengesahkan gambar tersebut namun tidak berjaya.

Nama Deepak menjadi perhatian selepas mendakwa bekas perdana menteri Datuk Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor terlibat dalam pembunuhan warga Mongolia Altantuya Shaariibuu pada 2006.

Beliau juga menyaman Najib dan Rosmah atas dakwaan konspirasi yang didakwanya menyebabkan beliau mengalami kerugian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here