Isu banjir Johor, kita pun naik malu nak cakap – TMJ

0
215

TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menggesa satu langkah segera diambil bagi menangani isu banjir melanda beberapa daerah di Johor.

Masalah banjir yang berlarutan setiap tahun dengan membabitkan kerugian harta benda di Johor perlu diatasi secepat mungkin, kata Tunku Ismail yang menggesa keperluan sistem tebatan banjir yang baik perlu dilaksanakan pada kadar segera.

“Kasihan pada rakyat yang susah kerana barang dan rumah rosak. Saya harap kerajaan boleh bertindak sebaik mungkin.

“Setiap tahun, saya pergi (melawat mangsa banjir) terpaksa cakap benda yang sama, bersabar. Sampai bila saya nak suruh orang sabar? Kita pun naik malu nak cakap.

“Saya harap kita boleh atasi secepat mungkin,” kata Tunku Ismail dipetik laporan BH menerusi segmen Bekpes Hot di Hot FM, pagi tadi.

Tunku Ismail juga menzahirkan rasa simpati terhadap rakyat di negeri itu yang terpaksa berdepan dengan isu terbabit selain malu kerana hanya mampu meminta mereka bersabar atas musibah yang melanda.

Sebelum ini, kira-kira 10 daerah di negeri itu terjejas susulan banjit antaranya Segamat, Kluang, Batu Pahat, Kota Tinggi, Muar, Tangkak, Johor Bahru, Mersing, Kulai dan Pontian.

Namun, laporan terbaharu menyaksikan jumlah mangsa banjir di Johor terus mencatatkan penurunan kepada 40,846 mangsa banjir daripada 11,496 keluarga setakat jam 8 pagi ini berbanding 41,661 orang daripada 11,664 keluarga pada jam 8 malam tadi.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani, berkata semua mangsa banjir itu kini ditempatkan di 139 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah yang masih terjejas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here