Sejarah berulang di Pusat Tarbiah Pas pusat

0
202

SEJARAH  berulang di Pusat Tarbiah Pas Pusat, Taman Melewar, yang dahulu menjadi tempat himpunan rakyat menentang kezaliman ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada Timbalan Perdana Menteri dan UMNO pada tahun 1998.

Himpunan rakyat menentang kezaliman berulang pada malam tadi  di Dewan Dato’ Fadzil Noor, bagi menyatakan solidariti kepada Pengerusi Perikatan Nasional yang juga Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang akan didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.

Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad menegaskan apa yang berlaku pada hari ini untuk melindungi pentadbiran kerajaan PH-BN.

Menurut beliau, kehadiran pada malam ini ramai anak-anak muda.

“Adakah kita boleh terima tuduhan mengatakan anak-anak muda tak ada pelajaran? Ini pandangan yang mereka letakkan kepada anak muda. Anak-anak muda menjadi pejaung medan TikTok, twitter dan Facebook dan menjadi benteng pertahanan.

“Insya-Allah anak-anak muda ini akan bayar pada pilihan raya negeri di enam buah negeri nanti,” katanya pada ceramah umum Selamatkan Negara dan Menentang Kezaliman di Taman Melewar, malam tadi, lapor Harakah Daily.

Ahli Parlimen Bagan Serai itu berkata, orang muda ada maruah ada harga diri dan tidak rela bersekongkol dengan nepotisme dan rasuah.

Beliau yang mengimbau suatu ketika dahulu berkata, dewan markas tabiah itu adalah dewan yang mencetuskan reformasi dan kebangkitan rakyat.

“Kita berdoa agar sistem kehakiman berjalan dengan baik dan Tan Sri diberi semangat untuk menghadapi cabaran,” ujarnya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyudin Hassan menegaskan bahawa penjara boleh memenjarakan diri tetapi penjara tidak boleh memenjarakan roh dan semangat seseorang.

“Kita menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia terutamanya penyokong Perikatan Nasional, jangan gusar, jangan bimbang, jangan takut, jangan kecewa kerana insya-Allah, Allah bersama kita. Teruskan berdoa,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu.

Selain Muhyiddin, turut berucap ialah Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat, Datuk Ahmad Yahaya dan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin. –

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here