Tak salah ‘override’: Kenyataan Anwar boleh beri mesej salah kepada penjawat awam

0
164

KENYATAAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa tidak salah bagi seorang anggota Kabinet membatalkan keputusan pegawai kerajaan boleh memberi mesej salah dan menyimpang kepada penjawat awam dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.

Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, dalam konteks tertentu, seseorang menteri mempunyai kuasa di bawah Akta, namun bukan bermaksud kuasa itu boleh digunakan sewenang-wenangnya.

Menurutnya, kuasa yang diberi sebaliknya perlu digunakan dengan cermat dan penuh teliti, termasuk mendapatkan pandangan daripada pengurusan tertinggi kementerian daripada pelbagai sudut, khususnya tatacara dan perundangan.

“Kenyataan PM (Anwar) seperti laporan media ini nampaknya boleh memberi mesej yang salah dan menyimpang kepada penjawat awam dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.

“Pemimpin kerajaan PH-BN sering melaungkan tentang tata kelola yang baik tapi hakikat sebenar amat menyedihkan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Mengulas lanjut Radzi menjelaskan, walaupun dalam keadaan terdesak sekali pun, jemaah menteri tidak wajar membatalkan peraturan sedia ada semata-mata kerana ada kuasa.

Katanya, ini terutamanya apabila nasihat yang diberikan penjawat awam adalah berdasarkan fakta dan analisa yang cermat dan teliti.

“Amat sukar untuk penjawat awam menjalankan tugas dengan cekap dan berkesan dalam keadaan sebegini,” tambahnya.

Kenyataan Ahli Parlimen Putrajaya itu merujuk kepada penegasan Anwar bahawa tidak salah bagi menteri membatalkan sesuatu keputusan dibuat oleh penjawat awam.

Ini susulan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang didakwa bercanggah dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) berhubung keputusan usul tambahan tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan UMNO tahun ini.

Sebelum ini, Ahli Majlis Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan menggesa Saifuddin memberi penjelasan mengenai kewujudan sepucuk surat yang didakwa dikeluarkan RoS berhubung pemilihan UMNO.

Menurut surat bertarikh 2 Mac lalu, Ketua Whip Parlimen PN itu mendakwa RoS berpandangan usul tambahan berkenaan tidak teratur serta bertentangan dan bercanggah dengan peruntukan Fasal 9.3 Perlembagaan UMNO.

Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung Pas, menegaskan jika surat itu tulen, ia bertentangan dengan kenyataan media Saifuddin Nasution yang memberi pengecualian kepada UMNO daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here