Sarjana tirai besi: Najib sambung PhD melalui internet

0
222

DATUK Seri Najib Razak sedang mengikuti kursus pascasiswazah dari Penjara Kajang, pusat tahanan dia menjalani hukuman penjara 12 tahun.

Sumber yang rapat dengan bekas Perdana Menteri itu memberitahu Malaysiakini, bahawa Najib telah mendaftar untuk mengikuti pengajian di peringkat doktor falsafah atau PhD dalam bidang ekonomi.

Terdahulu, akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily memetik Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail berkata, bahawa mengikut prosedur operasi standard (SOP), Najib akan dibenarkan melanjutkan pelajaran.

Bagaimanapun katanya, bekas Perdana Menteri yang juga pernah menjadi Menteri Kewangan itu tidak akan diberikan akses internet atau komputer riba.

“Kami akan cuba sedaya upaya untuk memudahkan, seperti untuk dia mengikuti seorang pensyarah,” katanya.

Ditanya mengenai hantaran di media sosial yang dikaitkan dengan Najib sedangkan beliau tidak mempunyai akses internet, Saifuddin berkata, ini bukan isu kerana dilakukan melalui pasukan medianya.

“Dia ada pasukan media sendiri, ini bukan perkara luar biasa, ia (akses kepada akaun media sosialnya) boleh berfungsi selagi ada nama pengguna dan kata laluan.

“Tiada undang-undang yang menghalang dia daripada memberi pendapat.

“Sama seperti dahulu, ketika (Perdana Menteri) Datuk Seri Anwar Ibrahim di penjara, dia dibenarkan mengeluarkan kenyataan media apabila di luar dari penjara (untuk menghadiri perbicaraan mahkamah).

“Najib dalam situasi yang sama, kita tidak seharusnya menghalangnya daripada menyatakan pandangannya,” tambahnya.

Bekas Perdana Menteri itu sedang menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung permohonannya untuk menyemak semula sabitannya berhubung kes SRC International Sdn. Bhd.

Pada 28 Februari, panel lima anggota menangguhkan keputusan, dan memaklumkan bahawa pihak terbabit akan dimaklumkan mengenai keputusan mereka selewat-lewatnya pada 31 Mac.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here