Malaysia, Indonesia bincang turun had kos ambil amah kepada RM15,000

0
177

MALAYSIA dan Indonesia mengadakan perbincangan bertujuan mengurangkan kos membawa masuk pembantu rumah dari negara itu kepada RM15,000.

Usaha berkenaan adalah susulan mesyuarat kumpulan kerja bersama (JWG) di Jakarta pada 21 Februari lalu.

Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono berkata, wakil dari kedua-dua negara hadir pada mesyuarat itu bersetuju mengenai keperluan untuk mengurangkan kos dengan melihat pelbagai komponen terlibat dalam membawa masuk pembantu rumah itu.

“Kami akan berbincang dengan organisasi mewakili agensi pengambilan di negara masing-masing dan melihat cara untuk mengurangkan kos. Ini tidak boleh dilakukan dalam sekelip mata,” katanya memetik laporan FM, hari ini.

Beliau berkata, wakil dari kedua-dua negara akan membentangkan perkara itu pada mesyuarat JWG seterusnya di Kuala Lumpur pada Jun ini.

Hermono yang turut serta dalam mesyuarat itu berkata, wakil itu termasuk pegawai dari Kementerian Sumber Manusia dan Jabatan Imigresen Malaysia dan Indonesia.

Dalam memorandum persefahaman (MoU) mengenai penggajian dan perlindungan pembantu rumah Indonesia yang ditandatangani pada 1 April tahun lepas, kos keseluruhan majikan Malaysia untuk membawa masuk pembantu rumah dihadkan kepada RM15,000.

Bagaimanapun, terdapat laporan beberapa majikan telah membayar setinggi RM20,000 untuk pembantu rumah mereka.

Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar baru-baru ini juga berkata kos mesti dikurangkan kerana ia terlalu tinggi.

Mengenai perkara ini, Hermono berkata, pihak kedutaan tidak menerima sebarang aduan walaupun telah membaca laporan mengenai dakwaan itu.

“Saya pernah berkata sebelum ini dan saya menyatakannya sekali lagi, buat aduan rasmi kepada kami jika mana-mana agensi di Malaysia atau Indonesia mengenakan caj melebihi RM15,000. Kami tahu apa yang perlu dilakukan,” katanya.

Mengenai cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini untuk menghentikan penggunaan ejen bagi mengurangkan kos, Hermono berkata, itu tidak mungkin dilakukan kerana MoU berkenaan menyatakan bahawa pengambilan pembantu rumah, yang disebut sebagai sektor tidak formal, perlu melalui proses ejen berdaftar.

Bagaimanapun, beliau berkata, pengambilan untuk sektor formal, termasuk semua kategori lain, boleh dilakukan secara terus oleh majikan Malaysia menggunakan ejen Indonesia berdaftar.

“Adalah mustahil untuk menghentikan penggunaan agensi merekrut pekerja asing di Indonesia,l.

“Ia adalah sebuah negara yang besar dengan penduduk dari banyak kawasan terpencil ingin ke luar negara. Adalah mustahil bagi jabatan atau agensi kerajaan di Jakarta untuk mengendalikan pergerakan yang begitu besar,” ujarnya.

Sehingga 22 Januari, terdapat 399,827 warga Indonesia bekerja di Malaysia dalam sektor pembuatan, pembinaan, perladangan, perkhidmatan, pertanian, pekerja rumah asing, perlombongan dan kuari.

Daripada jumlah itu, 63,323 adalah pembantu rumah – . warga Indonesia terdiri daripada jumlah terbesar dalam sektor berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here