Bekas kakitangan Utusan ambil VSS tuntut pelikuidasi bayar baki RM18.9 juta

0
152


SERAMAI 160 bekas kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad (UMMB) yang terlibat dalam Skim Pemisahan Sukarela (VSS) hampir lima tahun lalu, sudah menyerahkan notis tuntutan kepada UHY Advisory, agar menyelesaikan baki pembayaran mencecah RM18.9 juta.

Notis tuntutan (LOD) bertarikh 3 Mac lalu dihantar menerusi Tetuan Azmi & Associates kepada Tetuan Dennis Nik & Wong yang mewakili syarikat pelikuidasi tersebut, menyatakan tuntutan supaya bayaran penyelesaian berjumlah RM18,880,296.11 untuk didepositkan ke akaun Azmi dan Associates.

“Jika kami tidak mendapat sebarang jawapan dalam tempoh 14 hari daripada tarikh surat ini, anak guam kami akan meneruskan semua tindakan yang dibenarkan kepada mereka mengikut undang-undang termasuk memfailkan tindakan mahkamah,” menurut firma itu dalam LOD tersebut.

Perkara ini ialah selepas peguam daripada firma mewakili pekerja-pekerja itu, menghantar koresponden kepada Messrs Dennis Nik & Wong sejak Disember 2022 dan Januari dan Februari tahun ini, sebagai peringatan.

Bagaimanapun, firma itu memaklumkan bahawa mereka tidak menerima sebarang jawapan.

Notis tuntutan itu dihantar berikutan keputusan Mahkamah Tinggi di sini pada 25 Okt 2022 bahawa bekas kakitangan UMMB yang terlibat dalam VSS, berhak mendapat baki bayaran penyelesaian hasil penjualan 29 hartanah milik syarikat tersebut.

Hakim juga mengistiharkan bahawa 29 harta milik UMMB termasuk termasuk subsidiarinya iaitu Utusan Publications & Distributor Sdn Bhd, U Print Sdn Bhd (dalam likiudasi), Utusan Land Sdn Bhd and Juasa Holdings Sdn Bhd dan syarikat berkaitannya Mediamoney Sdn Bhd boleh dikenal pasti sebagai harta-harta amanah.

Dalam penghakimannya Nadzarin berkata harta-harta termasuk beberapa bangunan terletak di Jalan 5, Jalan Utusan Off Jalan Chan Sow Lin dan juga  Jalan 5, Seksyen 92 CSL di sini dan Jalan P/10 Kawasan Perusahaan S/S 10 di Bangi, adalah untuk penyelesaian kepada skim VSS oleh plantif (UMMB) boleh dikenal pasti atau diistiharkan sebagai harta amanah.

Beliau membuat keputusan itu dalam saman asal yang difailkan UHY Advisory sebagai likuidator mewakili UMMB sebagai plaintiff terhadap Rosmanizam Abdullah dan 159 yang lain sebagai defendan (pekerja VSS).

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here