2 beranak terselamat MPV hangus di PLUS

0
267

DUA beranak iaitu seorang ibu dan anak perempuannya berdepan detik cemas selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire yang dinaiki mereka terbakar dan hangus sepenuhnya dalam kejadian di Bukit Minyak, Pulau Pinang petang ini.

Jurucakap Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu yang berlaku di Kilometer (KM) 134 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) Permatang Pauh, Perai kira-kira pukul 2.55 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Jelasnya, sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, didapati kebakaran itu melibatkan sebuah kereta Toyota Vellfire dengan peratusan kemusnahan kebakaran dianggarkan 90 peratus.

“Terdapat dua mangsa telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba di lokasi kejadian.

“Si ibu tidak mengalami sebarang kecederaan, namun anaknya cedera ringan melecur di bahagian kaki dan mangsa telah diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau, pihaknya mengambil tindakan melakukan kerja-kerja pengawalan dan pemadaman yang mana kebakaran dapat berjaya dipadamkan sepenuhnya pukul 3.31 petang.

“Kerja-kerja ‘overhaul’ pula telah selesai dijalankan dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 3.39 petang,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here