Presiden MCA kritik kualiti makanan diberikan kepada mangsa banjir

0
150

PRESIDEN MCA Datuk Seri Wee Ka Siong mengkritik kualiti makanan yang disediakan kepada mangsa-mangsa banjir di Johor oleh Jabatan Kebajikan ketika mangsa banjir melebihi 50,000 di negeri itu.

Dalam satu video yang dimuat naik di laman media sosialnya, ahli Parlimen Ayer Hitam itu menyatakan rasa terkilan dengan makanan yang lewat dihantar dan penyediaan yang tidak berkualiti.

“Sarapan pagi tetapi dihantar pukul 11 pagi. Pukul 11 hendak makan sarapan apa? 

“Makanan tengah hari lauknya begitu sedikit,” katanya semasa melawat mangsa banjir di Sekolah Agama Taman Kota Yong Peng, di Johor baru-baru ini. 

Seramai 105 keluarga berada kawasan itu.

MCA merupakan parti komponen Barisan Nasional (BN) yang menyokong pembentukan kerajaan campuran bersama Pakatan Harapan (PH), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan beberapa parti kecil lain.

Menurut Wee, perkara itu turut berlaku di Sri Manggis yang mana makanan tengah hari dihantar pukul 2, ketika mangsa banjir sudah kelaparan.

Wee berkata, pihaknya sudah berbincang untuk memasak sendiri makanan bagi mangsa-mangsa banjir. 

“Saya rasa ini tidak patut berlaku. Kita masak sendiri pun tidak mengapa, jangan beri makanan begini,” katanya lapor Malaysianow.

Wee berkata, antara aduan lain yang turut diterima ialah nasi yang tidak dimasak dengan sempurna.

Bekas menteri pengangkutan itu berkata, terdapat 22 buah pusat pemindahan sementara (PPS) di kawasannya yang memerlukan makanan berkualiti. 

Beliau menggesa jabatan kebajikan untuk meningkatkan kualiti makanan.

Lebih 50,000 mangsa banjir dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dalam kejadian banjir yang bermula hujung Januari ekoran hujan lebat. 

Selain Johor, negeri lain yang terkesan ialah Pahang, Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim baru-baru ini menyatakan tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat di negeri itu yang kerana banjir yang berlaku disifatkanya sebagai terkawal.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here