‘Tak tahu macam mana orang UMNO nak pangkah DAP’

0
250

AHLI Parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata dia tidak dapat membayangkan situasi penyokong UMNO yang terpaksa mengundi calon DAP kerana kedua-dua parti itu bakal bekerjasama pada pilihan raya negeri akan datang.

“Ini juga kali pertama saya tidak tahu macam mana penyokong DAP nak memangkah UMNO dan orang UMNO nak pangkah DAP.

“Orang Amanah dan PKR nak berkempen untuk UMNO, MCA dan MIC. Ini memang satu sejarah sungguh kali ini. Jadi kita sama-sama tengok,” katanya yang dipetik oleh Sinar Harian semasa program temubual secara langsung akhbar itu.

Pada masa sama, bekas ketua penerangan Bersatu itu berkata dia berharap penyokong Pakatan Harapan dan BN yang tidak berpuas hati dengan prestasi kerajaan semasa akan memberi peluang kepada Perikatan Nasional (PN) dan menyokong mereka.

“Saya mengharapkan mereka yang menyokong PH dan BN yang kurang berpuas hati dengan apa yang berlaku sekarang, bagi peluang kepada PN menunjukkan apa yang kami boleh buat untuk membantu negeri-negeri yang akan mengadakan PRN nanti,” katanya.

Wan Saiful berkata kajian menunjukkan, setakat ini, prestasi kerajaan hari ini tidak begitu memberangsangkan.

Sambil mendakwa rakyat kurang percaya terhadap kemampuan pentadbiran semasa dalam mentadbir negara, katanya ini akan memberi kesan kepada persembahan PH dan BN dalam PRN.

“Rakyat kurang percaya dengan kebolehan kerajaan ini untuk menguruskan negara kita terutama dalam kita nak mengharungi cabaran ekonomi yang makin meruncing,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here