Timbalan Speaker arah MP DAP tarik balik kenyataan terhadap Muhyiddin

0
217

TIMBALAN Speaker Dewan Rakyat, Alice Lau pagi ini mengarahkan rakan seperjuangannya Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) supaya menarik balik kenyataan yang dibuatnya terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh).

Lapor Malaysiakini, ini selepas Khoo, yang juga dari parti DAP, mendakwa Muhyiddin terlibat dalam pemberian kontrak kerajaan kepada menantunya, sesuatu yang dinafikan bekas perdana menteri itu.

“Kita semua satu Malaysia sudah tahu, telah disiarkan dlm suratkhabar bahawa MACC (SPRM) tengah menyiasat anak menantu Pagoh. ini satu dunia (sudah) tahu,” menyiasat menantu Pagoh. Seluruh dunia tahu perkara ini.

“Mengikut laporan suratkhabar bahawa menurut sumber berita, anak menantu Pagoh (sedang) disiasat oleh MACC,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Belanjawan 2023.

Khoo membuat dakwaan itu selepas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) mencabarnya untuk mengulangi sebahagian daripada ucapannya, di mana naib pengerusi DAP Melaka itu menyindir bahawa seorang bekas pemimpin negara telah memberikan projek Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) kepada anak menantunya.

Kenyataan Khoo itu menimbulkan kemarahan ahli parlimen pembangkang, yang menggesanya supaya menariknya balik dan menuntut timbalan speaker yang mempengerusikan sesi pagi ini membuat keputusan.

Susulan itu, Lau meminta Khoo memperjelaskan kenyataannya dengan menyatakan akhbar mana yang dipetiknya serta tarikh laporan itu disiarkan.

Bagaimanapun, selepas RSN Rayer (Pakatan Harapan-Jelutong) tampil untuk membantu Khoo dengan membekalkan fakta, yang menurutnya dipetik daripada laporan New Straits Times bertarikh 9 Februari, Awang Hashim (PN-Pendang) segera mencelah dengan mengatakan bahawa Muhyiddin telah pun menafikan tuduhan itu.

Kekecohan timbul sekali lagi, sebelum Lau meminta Muhyiddin memberikan penjelasannya dan bekas perdana menteri itu mengulangi penafiannya.

“Saya dah sebut hari itu (Ini) pembohongan, fitnah, tak betul, tuduhan berat nak jatuhkan saya dan maruah keluarga saya.

“Hanya kerana YB (kamu) baca suratkhabar… surat kabar sekarang ini pun macam-macam sangkaan buruk, fake news (berita palsu).

“Saya nak jelaskan di sini bahawa itu tidak benar. Bahawa keputusan jawatankuasa pemilihan secara tender terbuka, bukan syarikat milik anak menantu saya,” katanya.

Muhyiddin seterusnya turut mencabar Khoo untuk mengulangi tuduhannya di luar Dewan Rakyat supaya dia boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap ahli parlimen Kota Melaka itu.

Susulan penjelasan Muhyiddin, Lau, yang merupakan ahli Parlimen DAP bagi Lanang, kemudian mengarahkan Khoo menarik balik kenyataannya, memetik Peraturan Tetap Dewan Rakyat 36(6) yang menetapkan bahawa tiada ahli Parlimen boleh mengaitkan motif tidak wajar kepada mana-mana ahli lain.

Khoo pada mulanya keberatan untuk menarik balik kenyataan itu tetapi hanya mahu menyusun semula ayat-ayatnya, tetapi Lau berkeras mahu dia menarik balik kenyataan tersebut.

“YB Kota Melaka, tarik balik dulu baru reframe,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here