Azmin persoal kenapa hanya pemimpin Bersatu jadi sasaran siasatan?

0
214

Oleh DATUK SERI MOHAMED AZMIN ALI

PENGARAH Komunikasi Barisan Nasional (BN) telah mengeluarkan satu kenyataan media tentang Surat Tuntutan yang dikatakan telah dikeluarkan terhadap saya dan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Surat Tuntutan tersebut kononnya menafikan peranan UMNO dan BN yang dipercayai mengakibatkan beberapa siri pendakwaan mahkamah terhadap pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan ahli perniagaan yang ditohmah mempunyai kaitan dengan BERSATU dan Perikatan Nasional (PN).

Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi dan pemimpin-pemimpin BN kini memegang tampuk kerajaan. Surat Tuntutan tersebut menunjukkan bahawa BN kini menggunakan kedudukan mereka untuk menakut-nakutkan pihak pembangkang dengan tindakan pendakwaan jenayah dan tindakan undang-undang.

Sebenarnya, kenyataan pemimpin BERSATU dan PN berkenaan perkara ini adalah fakta yang telahpun dinyatakan dalam laporan polis yang dibuat oleh wakil ARMADA BERSATU pada 15 Februari 2023 berkenaan konspirasi untuk melumpuhkan BERSATU dan PN melalui satu konspirasi fitnah dan tohmahan palsu. Inilah faktanya:

a) Dato’ Seri Zahid Hamidi sendiri yang mengumumkan bahawa kluster mahkamah yang baharu akan datang dari BERSATU dan PN (Pautan: https://www.utusan.com.my/nasional/2023/01/pau-2022-sekarang-mereka-bakal-jadi-kluster-mahkamah/ );

b) Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil, juga memberikan amaran hal yang sama yang membawa makna mereka telahpun mengetahui akan ada pendakwaan sebelum pun ianya berlaku (Pautan: https://www.malaysiakini.com/news/653021);

c) Serentak dengan itu, Perdana Menteri Ke-10 juga terlihat terbabit dalam konspirasi tersebut apabila mengumumkan penyelewangan yang jumlahnya berubah-ubah dari RM600 billion, RM530 bilion, RM92.5 bilion, RM4.5 bilion dan terakhir sekali RM300 juta kononnya dari kontrak kerajaan Jana Wibawa;

d) Akhirnya, apabila Ketua Penerangan BERSATU, Dato’ Wan Saiful Wan Jan dikenakan 2 pertuduhan, jumlahnya hanyalah RM6.9 juta bukan RM600 billion, RM530 bilion, RM92.5 billon, RM4.5 bilion atau RM300 juta.

Pertuduhan tersebut dengan jelas menunjukkan terdapat konspirasi fitnah palsu terhadap BERSATU dan PN yang disusun secara tidak cermat. Ini kerana Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri dari 1 Mac 2020 dan meletak jawatan pada 16 Ogos 2021.

Pertuduhan pertama terhadap Dato’ Wan Saiful Wan Jan menunjukkan kononnya kesalahan dilakukan pada bulan April 2022. Pada masa itu, Perdana Menteri adalah Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Naib Presiden UMNO, bukan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pertuduhan kedua menunjukkan kononnya kesalahan dilakukan di antara Julai 2022 dan September 2022. Pada masa itu pun Tan Sri Muhyiddin Yassin bukan lagi Perdana Menteri. Sudah setahun Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan dan kerajaan diterajui oleh Perdana Menteri dari UMNO.

Waktu kesalahan yang dinyatakan semuanya bukan pada zaman PN menjadi kerajaan. Kertas pertuduhan pun tiada menyebut BERSATU atau PN.

Jika JANAWIBAWA yang menjadi fokus siasatan SPRM, saya tahu bahawa program ini diteruskan ketika Kerajaan Persekutuan diketuai oleh BN selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai Perdana Menteri. Malah banyak kelulusan projek diberikan ketika BN
mengetuai kerajaan. Kenapa hanya pemimpin BERSATU yang menjadi sasaran siasatan dan pendakwaan sedangkan pemimpin BN dikecualikan?

Ini jelas menunjukkan terdapat cubaan di peringkat kepimpinan tertinggi kerajaan PH-BN menggunakan institusi kerajaan untuk melakukan pendakwaan terpilih dalam siri buruan politik mereka yang gopoh dan tidak cermat.

Perbicaraan kes-kes ini tidak mungkin berlaku sebelum 6 Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang. Maka, siri pendakwaan ini dibuat hanya untuk tujuan pembunuhan karekter pemimpin BERSATU dan PN menjelang 6 PRN yang akan datang, tanpa mengambil kira samada pertuduhan tersebut mempunyai asas yang kukuh atau tidak.

Inilah konspirasi jahat kerajaan PH-BN untuk menyelamatkan kedudukan mereka yang semakin tidak popular di mata rakyat sepertimana yang ditunjukkan dalam kajian sentimen awam yang terbaharu. Menurut kajian yang dilakukan oleh firma 02 Malaysia dengan kerjasama 5 media arus perdana, tidak ada seorang pun Menteri kerajaan PH-BN, termasuk Perdana Menteri, yang mendapat skor kepuasan hati rakyat melebihi 50%.

Rakyat juga memberikan skor yang amat rendah terhadap keupayaan kerajaan PH-BN dalam mengurus pertumbuhan ekonomi (27%), kecukupan bekalan makanan (26%), kebajikan dan kesihatan rakyat (25%), ketahanan ekonomi isirumah, kemiskinan dan kos sara hidup (21%). Ini adalah data-data empirikal yang menunjukkan kerajaan PH-BN mendapat markah gagal daripada rakyat setelah baru 100 hari memerintah.

Dalam keadaan ini, apakah tidak berasas bagi saya untuk mengatakan bahawa tindakan yang dibuat ke atas BERSATU dan PN adalah satu bentuk penindasan politik?

Apabila Surat Tuntutan diterima nanti, peguam saya akan membalas dengan sewajarnya.

Penulis ialah Ketua Penerangan Perikatan Nasional

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here