Reman lima suspek warga Myanmar bunuh pemilik kebun buah naga disambung seminggu

0
145

LIMA lelaki warga Myanmar yang disyaki terbabit dalam kes bunuh seorang pemilik kebun buah naga di Tanah Merah, Port Dickson, yang mayat mangsa ditemukan pada 18 Feb lalu, disambung reman selama seminggu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supt Aidi Sham Mohamed, berkata perintah sambung reman terhadap suspek berusia dalam lingkungan 19 hingga 49 tahun itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Seremban, Loh Xian Yi, hari ini.

Tempoh reman seminggu sebelum ini tamat hari ini.

“Kesemua mereka tiada dokumen perjalanan yang sah dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya, dalam kenyataan, di sini.

Mayat mangsa lelaki berusia 44 tahun itu ditemukan dalam keadaan tertiarap serta kedua-dua kaki dan tangan diikat dengan tali di kebun tersebut, dipercayai dibunuh bermotifkan dendam.

Polis kemudiannya menahan empat lelaki berkenaan di Shah Alam, Selangor manakala seorang lagi ditahan di Pasar Borong Selayang, Kuala Lumpur pada 19 Feb dengan siasatan awal mendapati beberapa suspek mengaku terlibat dalam kes berkenaan.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here