Kereta langgar kerbau hingga melambung, wanita parah

0
196

LIMA beranak berdepan detik cemas apabila kenderaan dinaiki mereka berlanggar dengan seekor kerbau dalam kejadian di KM 2.6 Jalan Bypass Pasir Puteh ke Tok Bali, malam tadi.

Kejadian kira-kira pukul 11 malam itu mengakibatkan seorang wanita cedera parah manakala suami dan tiga anaknya cedera ringan.

Menurut Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria, ketika kejadian wanita berusia 27 tahun itu berada di bahagian hadapan penumpang manakala kereta dipandu suami mangsa serta tiga anak mangsa berada di bahagian belakang.

Katanya, apabila sampai di lokasi kejadian, kereta mereka dipercayai terlanggar kerbau yang berada di laluan Tok Bali.

“Pelanggaran itu menyebabkan haiwan itu melambung dan menghempap bumbung kereta mangsa,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Difahamkan wanita berkenaan mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

Mengulas lanjut, Zaizul berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Kita masih jalankan siasatan lanjut berkaitan kejadian,” katanya.

Bagi yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik,Sarjan Mohd Jailani Mokhtar di talian 019-9899469.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here