Penggantungan keahlian UMNO: Saya tak tergamak nak buat rayuan – Hishammuddin

0
183

AHLI Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengesahkan tidak akan membuat rayuan berhubung keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang menggantung keahliannya selama enam tahun.

Dalam satu rakaman video, Bendahari Barisan Nasional (BN) itu berkata beliau tidak perlu berbuat demikian kerana sehingga hari ini punca penggantungannya tidak diketahui.

“Jadi, nak rayu buat apa? Kedua, dia (MKT UMNO) gantung tak ikut proses dan tak ikut prosedur. Saya tak diminta untuk jawab ke Lembaga Disiplin UMNO.

“Tak ada surat dikeluarkan Lembaga Disiplin UMNO untuk sekurang-kurangnya panggil saya untuk jawab secara bertulis,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Ahli Parlimen Sembrong bersama kepimpinan BN Sembrong, pada Rabu.

Mengulas lanjut, bekas Menteri Pertahanan itu berkata sekiranya rayuan dibuat, ia seolah-olah menunjukkan beliau bersalah.

Selain itu, beliau berpandangan tidak perlu membuat rayuan kepada pihak yang telah membuat keputusan sedemikian.

“Buat apa kita nak buat rayuan kepada orang yang telah membuat keputusan untuk menggantung? Kepada orang yang gantung kita, kita nak rayu kepada dia?

“Jadi, hari ini saya minta restu dan izin daripada keluarga di Sembrong, kita kata kalau saya nak rayu, saya tak tergamak nak buat rayuan,” katanya lapor Astro AWANI.

Selain Hishammuddin, MKT UMNO pada 27 Januari lalu turut menggantung bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan selama enam tahun.

Sementara bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar pula dipecat daripada parti Melayu itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here