‘Kerajaan Madani’ penuh dendam kesumat – Faiz Na’aman

0
229

KERAJAAN Madani hanyalah retorik yang indah di bibir, namun penuh dendam kesumat untuk membenam Perikatan Nasional (PN) yang mendapat sokongan besar rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman berkata kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) sekarang ini tidak lagi memfokuskan usaha mengatasi masalah rakyat.

Sebaliknya, kata beliau langkah dipergiatkan untuk melemahkan kekuatan parti gabungan PN secara diktator dan zalim, katanya mengulas pertuduhan terpilih bermotifkan politik terhadap Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan seorang pemimpin Bersatu bahagian.

Malaysia Madani dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, 19 Januari lalu, menggantikan konsep ‘Keluarga Malaysia’ ketika pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Konsep madani diperkenalkan Anwar, kononnya disasarkan untuk dijadikan dasar bagi setiap teras yang akan diteroka bagi memperkukuh lapan keperluan iaitu ekonomi dan kewangan, perundangan, pendidikan, kemasyarakatan, budaya, bandar dan luar bandar.

Mengulas lanjut, Dr Muhammad Faiz berkata banyak pihak berpendapat pertuduhan dikenakan ke atas Wan Saiful bermotifkan politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) do Kedah, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang, tidak lama lagi.

“Antara asas penubuhan Bersatu adalah menentang rasuah dan salah guna kuasa tanpa melibatkan campur tangan atau tekanan ke atas mana-mana agensi penguat kuasa kerajaan, apatah lagi sistem kehakiman negara.

“Namun umum tahu bahawa ketika kempen PRU lalu, Rafizi Ramli Menteri Ekonomi kerajaan luar tabie sekarang membuat kenyataan berbaur ugutan kononnya beliau mahu “mencari” Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki jika PH berjaya mentadbir negara.

“Persoalannya adakah beliau telah menemui Tan Sri Azam?,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Agenda Daily.

Ironinya, Dr Muhammad Faiz berkata Anwar bukan saja cakap berbelit dalam hal mereformasikan institusi kerajaan sepertimana propaganda serta janji partinya sebelum PRU, malah beliau secara terbuka telah melanggar beberapa perkara yang dianggap prinsipnya sendiri iaitu lantikan politik melibatkan ahli keluarganya, memegang jawatan Menteri Kewangan serta tidak meletakkan SPRM di bawah seliaan Parlimen.

Lebih parah, katanya, Anwar seolah-olah tiada idea bagaimana untuk memulihkan ekonomi negara, apatah lagi untuk mengurangkan beban kenaikan kos sara hidup seperti harga keperluan bahan makanan asas, harga minyak yang dijanjikan boleh turun lagi serta prinsip untuk menentang penyamun yang sering kali ditujukan terhadap UMNO-BN yang merupakan seteru tradisi PKR-PH selama ini.

“Justeru, ramai rakyat di luar sana melihat slogan Kerajaan Madani itu sebagai retorik yang hanya indah di bibir namun penuh dendam kesumat untuk membenamkan pihak lawan yakni PN yang telah bertekad untuk menjadi pembangkang yang professional demi proses semak imbang dalam negara.

“Tidak keterlaluan saya katakan kerajaan hari ini telah hilang fokus utama untuk mendahulukan permasalahan rakyat apabila menumpukan perhatian bagi melumpuhkan PN supaya UMNO-DAP dapat berkuasa secara diktator serta zalim,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Muhammad Faiz mengajak rakyat Malaysia, terutama penjawat awam yang ditekan, pekerja swasta dan sendirian yang merayu pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, peniaga kecil dan golongan B40, untuk bersama mengajar keangkuhan kerajaan PH-BN.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here