HIMPIT manifestasi sayang perjuangan sahabat Rasulullah SAW, cinta Islam

0
194

PROGRAM Himpunan Pemuda Islam Terengganu (HIMPIT) 2023 yang diadakan di Terengganu, minggu lalu, adalah manifestasi semangat sayang kepada perjuangan sahabat Rasulullah SAW dan cinta kepada Islam.

Tegas Ketua Penerangan Pas Pusat, Khairil Nizam Khirudin, kostum peserta perarakan pada program itu adalah pakaian yang menjelmakan watak pejuang Islam pada zaman sahabat Rasulullah SAW.

Malah katanya, Pas mengucapkan terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) merangkumi Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa yang sebelum ini dilaporkan berkata perarakan terbabit adalah satu daripada acara dipertandingkan pada program berkenaan, iaitu reka cipta bertemakan pakaian, replika senjata dan warisan Islam.

“Kenyataan berkenaan (dilihat sebagai) telah menjawab tohmahan jahat dilemparkan seorang pemimpin muda sebuah parti komponen Pakatan Harapan (PH) di Kelantan yang mengaitkan ‘cosplay’ himpunan HIMPIT di Terengganu sebagai unsur yang boleh disiasat bawah Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 (Akta 357). Ada juga yang mencadangkan ia dilihat dalam aspek ‘anti keganasan’ (counter terrorism).

“Kami melihat isu ini sengaja dilemparkan kepada Pas dalam usaha memburuk-burukkan imej parti ini, selain membawa lagi satu dogma Islamofobia dalam masyarakat,” dakwanya yang juga Ahli Parlimen Jerantut, dalam satu kenyataan, semalam.

Lapor Berita Harian, polis sudah memanggil 12 individu, termasuk penganjur program HIMPIT 2023 bagi membantu siasatan berhubung perarakan membabitkan replika senjata di Setiu pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa dalam satu kenyataan, semalam, berkata mereka yang diambil keterangan itu meliputi ahli jawatankuasa program berkenaan.

Beliau memaklumkan, sebahagian lagi peserta HIMPIT 2023 juga akan dipanggil nanti.

Jumaat lalu, Dewan Pemuda Pas Terengganu (DPPNT) dilapor menganjurkan program HIMPIT 2023 di daerah Setiu dengan dirasmikan Presiden parti, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Bagaimanapun, himpunan itu yang dikata diadakan DPPNT sebagai acara tahunan sejak 1991, mencetuskan polemik apabila peserta berarak sambil membawa replika senjata.

Namun, Ketua DPPNT, Mohd Harun Isa, dilapor menjelaskan bahawa peserta mengikut tema perarakan dan ia sama seperti pertandingan pakaian beragam dianjurkan di seluruh negara.

Mohd Harun dipetik berkata, tiada istilah keganasan dan provokasi, sebaliknya perarakan itu menggambarkan kreativiti peserta mempamerkan idea masing-masing.

Kelmarin, Rohaimi dilaporkan berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan untuk mengenal pasti kesalahan dilakukan penganjur dalam perarakan HIMPIT 2023.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here